Belanjawan 2026 dijangka kekal mengembang, defisit diunjur susut secara berperingkat

KERAJAAN dijangka membentangkan Belanjawan 2026 bersifat mengembang, dengan defisit fiskal diunjurkan sekitar 3.6 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK), sedikit menurun berbanding 3.8 peratus tahun ini, kata seorang ahli ekonomi.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, kerajaan dijangka menumpukan perhatian kepada sektor-sektor utama seperti pendidikan, penjagaan kesihatan dan infrastruktur dalam belanjawan kali ini.
"Selaras dengan pendirian fiskal berhati-hati kerajaan serta tiadanya rancangan untuk melaksanakan projek mega berskala besar - satu langkah berhemah memandangkan keadaan ekonomi semasa, penekanan yang lebih besar dijangka diberikan kepada inisiatif berteraskan rakyat," katanya kepada Bernama.
Beliau berkata, inisiatif sedemikian mungkin merangkumi penambahbaikan infrastruktur asas seperti kerja-kerja menaik taraf jalan raya, sistem pengairan, langkah mitigasi banjir, serta pembinaan atau pembaikan sekolah dan hospital, yang semuanya memberi kesan lebih langsung terhadap kesejahteraan rakyat.
Mohd Afzanizam turut memaklumkan bahawa defisit fiskal bagi separuh pertama tahun 2025 telah menunjukkan penurunan kepada RM40.5 bilion (atau 4.2 peratus daripada KDNK), berbanding RM51.6 bilion (5.5 peratus KDNK) bagi tempoh sama tahun sebelumnya.
Beliau berkata, kerajaan kini berada di landasan yang tepat untuk terus mengurangkan defisit fiskal secara berperingkat, dengan tanda-tanda awal penambahbaikan jelas kelihatan.
"Dengan pelaksanaan langkah-langkah konsolidasi fiskal yang sedang berjalan, termasuk pengenalan cukai baharu, peluasan skop cukai jualan dan perkhidmatan (SST), pelaksanaan e-invois dan rasionalisasi subsidi, kerajaan dijangka mampu mengurangkan defisit fiskal secara beransur-ansur,” katanya.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga Menteri Kewangan dijadual membentangkan Belanjawan 2026 di Parlimen pada 10 Oktober ini. - Bernama
Ringkasan AI
- Kerajaan dijangka membentangkan Belanjawan 2026 bersifat mengembang dengan defisit fiskal sekitar 3.6 peratus daripada KDNK
- Defisit fiskal menunjukkan penurunan dari tahun sebelumnya yang mencatatkan 3.8 peratus
- Belanjawan akan menumpu kepada sektor pendidikan, penjagaan kesihatan dan infrastruktur
- Inisiatif berteraskan rakyat termasuk penambahbaikan infrastruktur asas diutamakan berbanding projek mega
- Kerajaan dalam landasan tepat untuk mengurangkan defisit fiskal melalui pelaksanaan langkah-langkah konsolidasi fiskal
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
