23 sukarelawan GSF terima telefon bimbit baharu - Fahmi

SEPANG - [DIKEMAS KINI] Sebagai tanda penghargaan kepada 23 sukarelawan Malaysia dalam misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil telah menyumbangkan telefon bimbit baharu kepada mereka yang terlibat.
Fahmi berkata sumbangan tersebut bertujuan memudahkan komunikasi dan urusan peribadi sebaik kembali ke tanah air, selain membantu sukarelawan terus berkongsi pengalaman dan maklumat misi melalui saluran komunikasi digital dengan lebih efisien.
Beliau berkata, sumbangan kecil itu adalah sebagai tanda penghargaan dan terima kasih kerana telah mewakili rakyat Malaysia dalam misi kemanusiaan GSF, serta memberikan informasi sepanjang berada di atas kapal.

"Usaha dan semangat para sukarelawan misi GSF amat dihargai kerajaan,” katanya.
Selain Fahmi, ketibaan kumpulan sukarelawan itu disambut Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar serta wakil agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) serta ahli keluarga.
Penerbangan Emirates EK342 yang membawa kesemua 27 sukarelawan Malaysia termasuk empat orang dari kapal pemerhati serta lima peguam mendarat pada 10.07 malam, Selasa.
Pada 2 Oktober, rejim Israel telah memintas kesemua 42 kapal misi kemanusiaan GSF ke Gaza dan menahan 495 aktivis termasuk 23 aktivis Malaysia, yang kemudian dibebaskan secara berperingkat bermula 4 Oktober.
Jumaat lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan akan menggantikan telefon bimbit kepada 23 sukarelawan GSF yang terpaksa dibuang ke laut mengikut prosedur operasi standard (SOP) keselamatan yang dilatih sebelum pelayaran.
SOP tersebut adalah langkah berjaga-jaga sekiranya kapal ditahan tentera Israel dengan semua delegasi telah menerima taklimat dan latihan praktikal sebelum memulakan misi kemanusiaan mereka. - Bernama
Ringkasan AI
- Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil telah menyumbangkan telefon bimbit baru kepada 23 sukarelawan Malaysia dalam misi kemanusiaan GSF ke Gaza sebagai tanda penghargaan
- Sumbangan telefon bimbit bertujuan untuk memudahkan komunikasi dan urusan peribadi sukarelawan serta membantu mereka berkongsi pengalaman dan maklumat secara digital
- Sukarelawan misi GSF dihargai kerana wakil rakyat Malaysia dan memberikan informasi semasa berada di kapal
- Penerimaan sukarelawan disambut oleh beberapa tokoh penting termasuk Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan
- Rejim Israel telah memintas dan menahan kapal misi kemanusiaan termasuk 23 aktivis Malaysia yang kemudian dibebaskan secara berperingkat
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
