LZS perluas kutipan fitrah digital seluruh Selangor tahun depan

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Khaidzir Shahari (depan tiga dari kiri) beramah mesra bersama-sama pemenang pada Majlis Anugerah Ketua dan Penolong Amil Selangor 2025 di sini Sabtu.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Khaidzir Shahari (depan tiga dari kiri) beramah mesra bersama-sama pemenang pada Majlis Anugerah Ketua dan Penolong Amil Selangor 2025 di sini Sabtu.
A
A
A

SHAH ALAM – Lembaga Zakat Selangor (LZS) bakal memperluaskan pelaksanaan kutipan zakat fitrah secara digital ke seluruh daerah di negeri ini menjelang tahun depan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Khaidzir Shahari berkata, langkah itu diambil selepas pelaksanaan kutipan digital di daerah Kuala Selangor tahun ini menunjukkan hasil memberangsangkan.

Beliau berkata, kejayaan kutipan digital membuktikan kaedah itu bukan sahaja lebih efisien, malah membantu mengurangkan penggunaan kupon bercetak serta urus niaga tunai.

"Kita akan kembangkan lagi kutipan fitrah secara digital ke daerah lain pada 2026 bagi mengurangkan cetakan kupon dan menggalakkan pembayaran tanpa tunai," katanya ketika ditemui pada Majlis Anugerah Ketua dan Penolong Amil Selangor 2025 di sini pada Sabtu.

Seramai 176 Penolong Amil menerima Anugerah Penolong Amil Terbaik melibatkan lima kategori penerima sebagai penghargaan terhadap sumbangan mereka.

Penerima terdiri daripada Ketua Penolong Amil Kariah, Penolong Amil Kariah, Ketua Penolong Amil Fitrah, Penolong Amil Fitrah dan Penolong Amil Padi yang turut menerima sijil penghargaan serta plak.

Beliau menjelaskan, penggunaan sistem digital bukan bermaksud peranan amil akan berkurangan, sebaliknya membolehkan lebih ramai amil digerakkan untuk menjangkau pembayar zakat (muzakki) di kawasan lebih luas.

"Dengan penggunaan digital, bilangan amil dapat dikembangkan untuk pergi ke lebih banyak tempat dan berhubung dengan lebih ramai muzakki," ujar beliau.

Artikel Berkaitan:

Mohd Khaidzir (dua dari kiri) mengiringi Mufti Selangor, Datuk Dr Anhar Opir (dua dari kanan) menyampaikan penghargaan kepada salah seorang pemenang pada Majlis Anugerah Ketua dan Penolong Amil Selangor 2025 di sini Sabtu.
Mohd Khaidzir (dua dari kiri) mengiringi Mufti Selangor, Datuk Dr Anhar Opir (dua dari kanan) menyampaikan penghargaan kepada salah seorang pemenang pada Majlis Anugerah Ketua dan Penolong Amil Selangor 2025 di sini Sabtu.

Dalam pada itu, katanya, LZS telah membangunkan sistem Portal Penolong Amil Kariah (PAK) sejak dua tahun lalu bagi membolehkan urusan siasatan dan permohonan asnaf di peringkat kariah dilakukan secara atas talian.

Jelas beliau, inisiatif digital itu memperkukuh peranan Penolong Amil Kariah sebagai penghubung utama antara LZS dan masyarakat setempat dalam menguruskan kebajikan asnaf.

"Portal ini memudahkan Penolong Amil membuat semakan dan pengesahan permohonan asnaf di kariah masing-masing dengan lebih cepat, telus dan efisien," jelasnya.

Mohd Khaidzir berkata, peranan Penolong Amil amat penting dalam memastikan agihan zakat sampai kepada golongan yang benar-benar layak memandangkan jumlah asnaf di negeri itu kini mencecah hampir 80,000 ketua keluarga dan dijangka terus meningkat.

Menurutnya, setakat ini terdapat 4,839 Penolong Amil berdaftar di bawah LZS merangkumi penolong amil kariah, fitrah dan padi di seluruh Selangor.

"Daripada jumlah itu, 1,932 adalah Penolong Amil Kariah, 2,852 Penolong Amil Fitrah dan 55 Penolong Amil Padi.

"Penolong Amil bukan sekadar pemungut zakat fitrah atau padi, tetapi mereka juga memainkan peranan besar dalam operasi bancian dan semakan semula status asnaf fakir, miskin serta mualaf,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!