PM tidak hadir sidang Parlimen pagi ini, dititah ke Istana Negara - Speaker

KUALA LUMPUR – Sidang Dewan Rakyat pagi Selasa bermula dengan sedikit perubahan jadual apabila Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri yang sepatutnya dijawab oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, terpaksa ditiadakan susulan beliau dititah oleh Majlis Raja-Raja untuk hadir ke Istana Negara.
Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul memaklumkan perkara itu pada permulaan persidangan ketika menjelaskan ketiadaan Anwar untuk menjawab dua soalan yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Mohd Shahar Abdullah dan Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.
Bagaimanapun, beliau tidak memperincikan sebab Perdana Menteri dititah hadir ke Istana Negara.
“Hari ini sepatutnya kita ada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri dengan dua soalan daripada (Ahli Parlimen) Paya Besar dan Masjid Tanah.
“Namun saya difahamkan bahawa Perdana Menteri tidak dapat hadir pagi ini kerana dititah oleh Majlis Raja-Raja untuk berada di Istana Negara pada jam 10 pagi,” katanya di sini.
Menurut Johari, susulan perubahan tersebut, sidang dimulakan dengan sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan lebih awal daripada jadual asal.
Beliau turut memberi jaminan bahawa dua soalan berkenaan akan dijadualkan semula untuk dijawab oleh Perdana Menteri pada tarikh lain.
“Saya akan sesuaikan satu tarikh lain untuk soalan daripada Paya Besar dan Masjid Tanah, tanpa perlu dimasukkan semula ke dalam senarai soalan,” jelasnya.
Mengikut Aturan Urusan Mesyuarat, Mohd Shahar meminta Perdana Menteri menyatakan pendirian kerajaan terhadap pelan damai yang dikemukakan oleh Presiden Amerika Syarikat berhubung konflik Palestin-Israel serta sejauh mana pelan tersebut selaras dengan prinsip dan usaha Malaysia dalam memperjuangkan hak rakyat Palestin serta kedaulatan negara mereka.
Mas Ermieyati pula mahu Perdana Menteri menyatakan tahap persediaan kerajaan bagi menjayakan Tahun Melawat Malaysia 2026, khususnya dari segi promosi antarabangsa, penglibatan kerajaan negeri, dan sama ada perbelanjaan dibuat berasaskan prinsip ‘value for money’, serta sama ada akan diadakan satu pelancaran besar-besaran pada 31 Disember 2025 seperti amalan sebelum ini.
Sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri menjadi antara tumpuan utama persidangan Dewan Rakyat kerana ia memberi peluang kepada Ahli Parlimen mendapatkan penjelasan terus daripada anggota Jemaah Menteri termasuk Perdana Menteri.
Ringkasan AI
- Sidang Dewan Rakyat pagi Selasa bermula dengan perubahan jadual kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, terpaksa ke Istana Negara atas titah Majlis Raja-Raja
- Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri yang sepatutnya dijawab oleh Anwar Ibrahim ditiadakan
- Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, mengumumkan ketiadaan Anwar dan perubahan jadual pada permulaan persidangan
- Johari menyatakan dua soalan yang sepatutnya dijawab oleh Anwar akan dijadualkan semula untuk dijawab pada tarikh lain
- Soalan yang sepatutnya dijawab termasuk pendirian kerajaan terhadap pelan damai Palestin-Israel dan persediaan kerajaan bagi Tahun Melawat Malaysia 2026
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

