Dewan Rakyat ceria seketika, Mas Ermieyati berseloroh rindu King Sing

Mas Ermieyati
Mas Ermieyati
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sidang Dewan Rakyat pada Selasa bertukar ceria seketika apabila Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin (PN–Masjid Tanah) berseloroh mengenai ketidakhadiran Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan.

Dengan nada bersahaja tetapi mengundang tawa, bekas Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi itu meluahkan rasa kecewa kerana tidak berpeluang bertentang mata dengan King Sing selepas soalan beliau dijawab oleh Timbalan Menteri, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan.

“Sungguh kecewa hati ini, ingatkan dapat jumpa menteri yang ku rindui. Sejak semalam saya menunggu.

“Tak apa, silakan Yang Berhormat Timbalan Menteri beri jawapan,” katanya secara spontan.

Khairul Firdaus kemudian membalas dengan nada gurauan yang turut mengundang gelak ketawa dalam dewan.

“Saya pun sedih juga sebab beliau (Mas Ermieyati) nampaknya macam tak berminat saya nak jawab pertanyaannya,” balasnya.

Mas Ermieyati sebelum itu mengajukan soalan kepada Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya mengenai sebab Malaysia masih belum berjaya menjadikan seni budaya sebagai komoditi eksport bernilai tinggi, sedangkan negara mempunyai kekayaan warisan yang unik, serta pelan tindakan menyeluruh untuk membangunkan seni budaya sebagai komponen ekonomi kreatif eksport.

Ahad lalu, King Sing menafikan dakwaan Mas Ermieyati bahawa minuman beralkohol dihidangkan dalam majlis rasmi kerajaan, sebaliknya menjelaskan bahawa majlis tersebut merupakan inisiatif pihak industri dan sektor swasta.

Mas Ermieyati sebelum itu mendakwa minuman keras telah dihidangkan dalam satu majlis makan malam anjuran Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia sehingga menyebabkan tetamu beragama Islam meninggalkan majlis lebih awal.

Artikel Berkaitan:

 

 

Ringkasan AI

  • Sidang Dewan Rakyat bertukar ceria apabila Datuk Mas Ermieyati Samsudin berseloroh mengenai ketidakhadiran Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya
  • Mas Ermieyati meluahkan rasa kecewa kerana tidak dapat bertentang mata dengan Datuk Seri Tiong King Sing
  • Timbalan Menteri, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan, memberi jawapan dengan nada gurauan yang mengundang gelak ketawa
  • Soalan yang diajukan oleh Mas Ermieyati adalah mengenai sebab Malaysia belum menjadikan seni budaya sebagai komoditi eksport bernilai tinggi
  • Mas Ermieyati sebelum itu mendakwa minuman keras dihidangkan dalam majlis makan malam anjuran Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia yang menyebabkan tetamu beragama Islam meninggalkan majlis lebih awal

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!