PM baharu Perancis letak jawatan tak sampai sebulan

PARIS - Presiden Perancis, Emmanuel Macron pada Isnin menerima keputusan peletakan jawatan Perdana Menteri, Sebastien Lecornu di tengah-tengah krisis politik yang melanda negara Eropah Barat itu.
Lecornu dilantik sebagai Perdana Menteri Ketujuh di bawah pentadbiran Macron pada 9 September lalu untuk menggantikan François Bayrou yang disingkirkan menerusi undi percaya.
Namun, pemimpin tersebut memutuskan untuk berundur setelah pengumuman barisan Kabinet baharu pada lewat Ahad yang menyaksikan tiada perubahan besar hingga mencetuskan kritikan hebat di seluruh spektrum politik.
Sejak sebulan lalu, Lecornu telah mengadakan rundingan bersama kesemua pihak termasuk pembangkang untuk mencapai persetujuan mengenai pakatan tidak bermusuhan di Parlimen dan meluluskan bajet yang gagal dilaksanakan dua pendahulunya, Bayrou serta Michel Barnier.
Difahamkan, tiada parti yang mempunyai kerusi mencukupi untuk mentadbir sendiri malah sebahagian besar parti haluan kiri mengumumkan rancangan untuk menyokong undi tak percaya. - Agensi
Ringkasan AI
- Presiden Perancis, Emmanuel Macron menerima keputusan peletakan jawatan Perdana Menteri, Sebastien Lecornu
- Lecornu dilantik sebagai Perdana Menteri Ketujuh di bawah pentadbiran Macron menggantikan François Bayrou
- Berundur setelah pengumuman barisan Kabinet baharu tanpa perubahan besar mencetuskan kritikan
- Lecornu telah mengadakan rundingan untuk mencapai persetujuan mengenai pakatan tidak bermusuhan di Parlimen
- Tiada parti mempunyai kerusi mencukupi untuk mentadbir sendiri, parti haluan kiri berancang sokong undi tak percaya
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

