Skim SMART Sewa: 4,000 unit rumah ditawarkan menjelang 2028 - MB Selangor

DENGKIL - Kerajaan Selangor menyasarkan kira-kira 4,000 unit rumah dapat disediakan di bawah inisiatif Skim SMART Sewa menjelang 2028, kata Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari.
Beliau berkata, ketika ini pihaknya mempunyai kira-kira 1,000 unit rumah bagi pelaksanaan skim berkenaan dan bilangan itu dijangka meningkat menerusi projek Rumah Harapan dan Rumah Idaman di Selangor.
"Setiap kali siap sahaja Rumah Idaman dan Rumah Harapan, ini bermakna kerajaan negeri juga akan menerima rumah ini yang akan diberikan (daripada pemaju) termasuk di Lembah Subang.
"Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) juga sedang berunding saat akhir dan kita ingin selesaikan beberapa benda (misalnya) di Lembah Subang ada banyak blok dan pertambahan (unit), saya ingat antara 1,000 hingga 2,000 rumah (untuk SMART Sewa),” katanya pemberita selepas majlis penyerahan surat tawaran Projek Perumahan Rakyat (PPR) Ampar Tenang di sini pada Isnin.
Terdahulu dalam ucapannya, Amirudin berkata, kerajaan negeri komited untuk memperluaskan akses perumahan mampu milik kepada rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana di Selangor.
"Saya tahu ada rakyat yang tidak mampu untuk beli rumah, kita tidak akan paksa anda memiliki rumah atau biarkan anda menderita (sebab itu) ada SMART Sewa,” katanya.
SMART Sewa ialah skim yang menawarkan sewaan rumah kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana dan 30 peratus daripada jumlah sewaan bersih akan digunakan untuk membayar deposit pembelian Rumah Selangorku. - Bernama
Ringkasan AI
- Kerajaan Selangor menyasarkan 4,000 unit rumah di bawah Skim SMART Sewa menjelang 2028
- Kini ada 1,000 unit rumah dan bilangan dijangka meningkat melalui projek Rumah Harapan dan Rumah Idaman
- Rumah yang diterima daripada pemaju akan dimasukkan ke dalam skim ini
- KPKT sedang berunding untuk menambah 1,000 hingga 2,000 rumah untuk Skim SMART Sewa
- Skim ini menawarkan sewaan rumah kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana, dengan 30% sewaan bersih digunakan untuk deposit pembelian Rumah Selangorku
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
