Prestasi kewangan kerajaan bertambah baik, defisit turun RM12.22 bilion pada 2024 - LKAN

KUALA LUMPUR - Prestasi kewangan kerajaan Persekutuan bertambah baik pada 2024 dengan penurunan defisit berjumlah RM12.22 bilion menjadikan nisbah defisit kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menurun kepada 4.1 peratus berbanding 5.0 peratus pada 2023.
Menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 3/2025, pinjaman tahun 2024 juga menurun sebanyak RM39.26 bilion atau 16.3 peratus berbanding RM241.51 bilion pada 2023.
Kutipan hasil kerajaan Persekutuan berjumlah RM324.62 bilion, meningkat RM9.66 bilion atau 3.1 peratus berbanding RM314.96 bilion pada 2023.
Bagaimanapun, lebihan hasil menurun RM0.58 bilion atau 15.8 peratus berbanding RM3.69 bilion pada 2023.
"Selain itu, baki defisit Kumpulan Wang Pembangunan meningkat RM0.32 bilion atau 3.1 peratus berbanding baki defisit tahun 2023 berjumlah RM10.21 bilion.
"Nisbah Liabiliti Persekutuan kepada KDNK menurun daripada 81.8 peratus kepada 81.7 peratus pada 2024,” katanya.
Bagaimanapun, kerajaan Persekutuan perlu memberi perhatian terhadap peningkatan Liabiliti Persekutuan berjumlah RM86.05 bilion (5.8 peratus).
Ini termasuk peningkatan Hutang Persekutuan berjumlah RM75.11 bilion berbanding 2023.
Oleh itu, pihak audit mengesyorkan Kementerian Kewangan memantapkan mekanisme kutipan hasil, terutamanya Hasil Cukai Langsung bagi memastikan lebihan hasil dapat dimanfaatkan untuk membiayai perbelanjaan pembangunan serta mengurangkan defisit fiskal dan kebergantungan pada pinjaman baharu.
Selain itu, tindakan yang lebih berkesan perlu diambil untuk mengutip Akaun Belum Terima dan mengelak sebarang hapus kira yang boleh merugikan Kerajaan Persekutuan.
"Kementerian Kewangan juga disyorkan untuk memantau dan menilai prestasi pengurusan kewangan syarikat Kerajaan Persekutuan secara konsisten bagi memastikan syarikat berdaya maju serta memberi pulangan dividen sewajarnya kepada Kerajaan Persekutuan,” menurut laporan itu.
Sementara itu, kadar pertumbuhan Hutang Persekutuan menunjukkan trend penurunan daripada 11.4 peratus pada 2021 kepada 6.4 peratus pada 2024.
"Bayaran balik prinsipal pinjaman matang pada 2024 menurun sejumlah RM17.84 bilion (12.7 peratus) kepada RM122.34 bilion berbanding RM140.18 bilion pada 2023 berikutan jumlah pinjaman matang yang lebih rendah,” katanya.
Bagaimanapun, Perbelanjaan Kerana Hutang Negara pada 2024 meningkat sejumlah RM4.15 bilion (9.0 peratus) kepada RM50.48 bilion berbanding RM46.33 bilion pada 2023 bagi bayaran faedah baki Hutang Persekutuan berjumlah RM1.25 trilion setakat 31 Disember 2024.
Oleh itu, pihak audit negara mengesyorkan Kerajaan Persekutuan memastikan pengurusan Hutang Persekutuan yang berhemat bagi mengurangkan pendedahan risiko kegagalan pembayaran Hutang Persekutuan.
"Langkah konsolidasi fiskal perlu diteruskan bagi memastikan pinjaman baharu adalah lebih rendah berbanding semasa pandemik tanpa menjejaskan pertumbuhan ekonomi negara.
"Seterusnya, paras hutang tidak melebihi 60 peratus kepada KDNK dapat dicapai dalam jangka masa sederhana seperti ditetapkan di bawah Akta 850,” katanya.
Selain itu, kerajaan Persekutuan juga dinasihatkan untuk memberi perhatian terhadap pinjaman baharu untuk membiayai bayaran balik pinjaman yang akan matang memandangkan Kerajaan Persekutuan perlu menyediakan peruntukan bagi melunaskan pinjaman yang akan matang berjumlah RM490.02 bilion dalam tempoh lima tahun. - Bernama
Ringkasan AI
- Prestasi kewangan kerajaan Persekutuan bertambah baik pada 2024 dengan penurunan defisit kepada 4.1 peratus dari KDNK
- Pinjaman tahun 2024 menurun sebanyak RM39.26 bilion berbanding tahun sebelumnya
- Kutipan hasil kerajaan Persekutuan meningkat RM9.66 bilion atau 3.1 peratus dari tahun 2023
- Lebihan hasil kerajaan Persekutuan menurun 15.8 peratus berbanding tahun sebelumnya
- Audit negara mengesyorkan Kementerian Kewangan meningkatkan mekanisme kutipan hasil untuk mengurangkan defisit fiskal dan kebergantungan pada pinjaman baru
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
