Penjawat awam dilarang sertai aktiviti libatkan minuman beralkohol - Cuepacs

Adnan
Adnan
A
A
A

SHAH ALAM - Penjawat awam di negara ini tidak dibenarkan sama sekali menyertai aktiviti atau majlis yang melibatkan minuman keras atau sebarang bentuk minuman beralkohol, sama ada secara langsung atau tidak langsung.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Dr Adnan Mat berkata, larangan itu selaras dengan nilai profesionalisme serta tatakelakuan yang ditetapkan dalam Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

Menurutnya, penyertaan dalam aktiviti yang boleh mencemarkan reputasi jabatan atau menimbulkan persepsi negatif terhadap kerajaan adalah sesuatu yang tidak boleh diterima sama sekali.

"Cuepacs menasihatkan supaya mana-mana penjawat awam yang menerima jemputan menghadiri majlis makan malam, jamuan rasmi atau tidak rasmi yang disyaki melibatkan hidangan minuman beralkohol segera mendapatkan pengesahan daripada pihak penganjur.

"Jika terdapat keraguan atau maklumat bahawa majlis tersebut melibatkan minuman arak, penjawat awam hendaklah menolak jemputan tersebut serta melaporkan segera kepada pihak berkuasa atau ketua jabatan masing-masing untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin mendakwa, terdapat minuman beralkohol dihidangkan dalam majlis makan malam Global Travel Meet 2025 sehingga menyebabkan tetamu beragama Islam meninggalkan program lebih awal.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing menerusi kenyataan balas berkata, penganjuran majlis itu merupakan inisiatif daripada pemain industri dan sektor swasta.

Mengulas lanjut, Adnan berkata, pihak swasta dan industri turut digesa supaya menghormati budaya serta sensitiviti agama khususnya dalam majlis rasmi yang turut dihadiri oleh penjawat awam.

Tegasnya, Malaysia merupakan sebuah negara majmuk yang mengamalkan nilai kesopanan, kesusilaan dan menghormati kepercayaan agama.

Artikel Berkaitan:

Beliau menambah, setiap penganjur perlu peka terhadap budaya rasmi kerajaan, terutamanya apabila majlis melibatkan kakitangan awam yang sebahagian besar beragama Islam dan terikat dengan peraturan serta etika perkhidmatan.

"Cuepacs berpandangan bahawa langkah ini penting bagi memastikan setiap bentuk majlis rasmi atau tidak rasmi tidak menyinggung mana-mana pihak dan selari dengan nilai moral serta budaya masyarakat Malaysia.

"Kongres juga menyeru agar semua jabatan dan agensi kerajaan lebih berhati-hati dalam memilih acara atau program yang disertai bagi mengelakkan timbulnya persepsi tidak baik terhadap penjawat awam serta memastikan imej perkhidmatan awam kekal dihormati rakyat," katanya.

Ringkasan AI

  • Penjawat awam dilarang menyertai aktiviti yang melibatkan minuman keras
  • Larangan ini bersumber dari nilai profesionalisme dan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam 1993
  • Cuepacs menasihatkan penjawat awam untuk mengesahkan kandungan majlis sebelum menghadiri
  • Majlis yang melibatkan minuman alkohol harus ditolak dan dilaporkan kepada pihak berkuasa
  • Pihak swasta dan industri digalakkan menghormati budaya dan sensitiviti agama dalam majlis rasmi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!