Covid-19: Perintah 'lockdown' di New Delhi

Ketua Menteri New Delhi, Arvind Kejriwal. - Foto Sumber Internet
Ketua Menteri New Delhi, Arvind Kejriwal. - Foto Sumber Internet
A
A
A

NEW DELHI - New Delhi yang didiami kira-kira 20 juta penduduk berada di bawah perintah 'lockdown' selama seminggu mulai Isnin sebagai langkah drastik untuk membendung rantaian jangkitan koronavirus (Covid-19).

"Keadaan yang luar biasa memaksa tindakan luar biasa dilaksanakan. New Delhi berada di bawah perintah 'lockdown' sehingga 31 Mac," kata Ketua Menteri New Delhi, Arvind Kejriwal.

India melaporkan hampir 400 kes disahkan setakat ini, menurut temu bual media tempatan dengan doktor meramalkan keadaan mungkin akan lebih serius.

New Delhi mencatatkan 27 kes sehingga Ahad, dengan enam kes merupakan jangkitan antara komuniti.

Pihak berkuasa persekutuan dan negeri mengumumkan penggantungan perkhidmatan pengangkutan dan penutupan pasar, sekolah, panggung wayang dan tempat awam lain.

Hanya seperempat perkhidmatan pengangkutan awam beroperasi untuk mengangkut kakitangan perkhidmatan kesihatan, makanan, bekalan air dan elektrik.

Semua penerbangan antarabangsa dan perkhidmatan kereta api juga digantung, menyaksikan 1.3 bilion penduduk terjejas.

Negeri seperti Andhra Pradesh, Punjab, Telangana, Bihar dan Uttarakhand turut menguatkuasakan perintah 'lockdown'. Sebanyak 75 daripada 700 wilayah turut dikenakan langkah sama. - Bernama

Artikel Berkaitan: