Pam terbakar lepas isi minyak

BALING - Sebuah stesen minyak di Kampung Bandar, Mukim Siong di sini hampir musnah selepas berlaku kebakaran sejurus sebuah kenderaan selesai mengisi petrol dalam kejadian pada Ahad.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling, Penolong Penguasa Bomba Zulkhairi Mat Tanjil berkata, kebakaran menyebabkan kemusnahan hampir 80 peratus membabitkan pam minyak dan kira-kira lima peratus pada bahagian bumbung bangunan stesen tersebut.
Menurutnya, bomba menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS 999 pada jam 8.52 malam dan bergegas ke lokasi sejauh kira-kira 14 kilometer.

“Setibanya di tempat kejadian pada jam 9.07 malam, didapati kebakaran melibatkan sebuah pam minyak di stesen minyak berkenaan.
“Operasi memadam kebakaran dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Kampung Lalang Siong dan PBS Belia 4B,” katanya.
Beliau berkata, kebakaran berjaya dikawal pada jam 9.13 malam dan operasi pemadaman diteruskan sehingga tiada nyalaan semula.
“Kejadian disedari pekerja stesen minyak terbabit apabila pam petrol di bahagian hadapan, menghadap jalan utama, terbakar.
“Ketika kejadian, stesen minyak masih beroperasi dan kami dimaklumkan oleh pekerja bahawa kebakaran berlaku sebaik sahaja sebuah kenderaan selesai mengisi minyak dan beredar,” katanya.
Bagaimanapun, Zulkhairi berkata, tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.

Beliau berkata, operasi memadam kebakaran menggunakan satu pancutan air dari tangki jentera serta pili bomba berhampiran.
Selain itu, pihaknya turut menggunakan teknik buih bagi menutup permukaan minyak petrol yang berisiko terbakar serta menutup injap utama di stesen minyak terbabit.
Jelas beliau, punca kejadian dan nilai kerugian masih dalam siasatan Forensik Kebakaran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Ringkasan AI
- Sebuah stesen minyak di Kampung Bandar, Mukim Siong hampir musnah akibat kebakaran selepas sebuah kenderaan mengisi petrol
- Kebakaran menyebabkan kemusnahan hampir 80 peratus pam minyak dan lima peratus pada bumbung bangunan
- Bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 8.52 malam dan bergegas ke lokasi yang berjarak kira-kira 14 kilometer
- Kebakaran berjaya dikawal pada jam 9.13 malam dengan bantuan Pasukan Bomba Sukarela
- Tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

