Pemandu rentung, lori muatan debu simen terbakar di Lebuhraya Karak

Keadaan sebuah lori selepas terbakar di Lebuhraya Karak pada Isnin.
Keadaan sebuah lori selepas terbakar di Lebuhraya Karak pada Isnin.
A
A
A

GOMBAK – [DIKEMAS KINI] Seorang lelaki maut selepas lori membawa muatan debu simen yang dipandunya terbakar akibat kemalangan di Kilometer 28 Lebuhraya Karak arah dari Genting Sempah ke Kuala Lumpur di sini pada Isnin.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.21 pagi.

“Seramai enam anggota dan pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selayang bergegas ke lokasi kejadian yang jaraknya sejauh 55 kilometer,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Anggota bomba memadamkan kebakaran sebuah lori di Lebuhraya Karak pada Isnin.
Anggota bomba memadamkan kebakaran sebuah lori di Lebuhraya Karak pada Isnin.

Ahmad Mukhlis berkata, sebaik tiba di tempat kejadian pada jam 5.07 pagi, pihaknya mendapati sebuah lori terbakar kira-kira 60 peratus.

“Pemandu lori dikenali sebagai Muhammad Izzat Kamarudin, 28, ditemui rentung dan disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) di lokasi.

"Operasi pemadaman berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 5.12 pagi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, ketika kejadian, pemandu treler yang merupakan lelaki tempatan berusia 28 tahun itu sedang memandu seorang diri dari Kemaman menuju ke Sungai Buloh.

Artikel Berkaitan:

"Siasatan awal mendapati lori treler tersebut hilang kawalan sebelum terbabas sebelum melanggar pembahagi jalan dan terbalik, kenderaan itu kemudian terbakar sepenuhnya," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Katanya, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi oleh Penolong Pegawai Perubatan Hospital Selayang akibat kecederaan parah.

"Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Selayang untuk tindakan lanjut.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Menurutnya, orang awam yang menyaksikan kejadian atau mempunyai sebarang maklumat diminta tampil membantu siasatan.

"Sebarang maklumat boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Noor Farah Hanim Abu Bakar di talian 019-3311552 atau Bilik Gerakan IPD Gombak di talian 03-6126 2222," katanya.

 

 

Ringkasan AI

  • Seorang lelaki maut dalam kemalangan lori muatan debu simen terbakar di Lebuhraya Karak
  • Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor terima panggilan kecemasan pada jam 4.21 pagi
  • Enam anggota bomba dari BBP Selayang bergegas ke lokasi kemalangan yang jaraknya 55 kilometer
  • Lori ditemukan terbakar kira-kira 60 peratus ketika bomba sampai
  • Pemandu lori, Muhammad Izzat Kamarudin, 28, ditemui rentung dan disahkan meninggal dunia

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!