Bapa tak sangka tonton video kemalangan anak sendiri

KEPALA BATAS - Seorang warga emas tidak menyangka rakaman video kemalangan tular di media sosial membabitkan sebuah kereta terbakar di Jalan Permatang Baru Sungai Lokan di sini pada Sabtu, yang ditontonnya melibatkan anak kandungnya.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 pagi itu, dua individu dilaporkan rentung selepas kenderaan dinaiki mereka terbabas dan merempuh timbunan tanah sebelum terbakar.
Ahmad Lin @ Mustafa, 74, berkata, dia hanya mengetahui seorang daripada mangsa ialah anaknya, Mohd Fitri, 35, selepas dimaklumkan rakan-rakan arwah yang datang ke rumah di Kampung Teluk Amboi, Kuala Muda, Kedah kira-kira jam 5 petang Sabtu.
"Pakcik tak sangka mangsa kemalangan itu adalah Mohd Fitri sebab dia tak maklum kepada keluarga dia keluar dengan rakannya ke Perak.
"Pakcik hanya tahu dia terlibat kemalangan dan kereta dinaiki rentung selepas rakan-rakannya datang ke rumah petang semalam sebelum bergegas ke Hospital Kepala Batas (HKB),” katanya ketika ditemui di Unit Forensik HKB di sini pada Ahad.
Meskipun sedih dengan kejadian meragut nyawa anak kelapan daripada 10 beradik itu, Ahmad berkata, mereka sekeluarga reda dengan ketentuan ALLAH.
"Sebagai bapa, kehilangan ini amat berat kerana sebelum ini saya pernah kehilangan anak perempuan berusia tujuh tahun dalam kebakaran kelambu pada tahun 70-an,” katanya.
Ahmad berkata, keluarganya kini masih menunggu proses ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang akan dijalankan esok menggunakan sampel anak perempuannya iaitu kakak mangsa sebelum mereka dapat menuntut jenazah Mohd Fitri, kemungkinan mengambil masa tiga minggu hingga sebulan berikutan keadaan mangsa hanya tinggal rangka.
Difahamkan identiti seorang lagi mangsa rentung masih belum dapat dipastikan.
Sementara itu, adik arwah Mohd Arif, 31, berkata, abangnya seorang yang rajin, disenangi rakan-rakan dan tidak tahu memandu kereta.
"Arwah seorang yang ‘simple’, rajin buat kerja rumah dan tidak suka keadaan bersepah. Kali terakhir saya jumpa arwah sehari sebelum kejadian kerana kami tinggal bersama,” katanya.
Pada Sabtu, polis memaklumkan identiti kedua-dua mangsa rentung akibat merempuh timbunan tanah di Jalan Permatang Baru di sini, masih belum dikenal pasti. - Bernama
Ringkasan AI
- Warga emas terkejut tahu anaknya terlibat dalam video kemalangan tular kereta terbakar
- Kemalangan di Jalan Permatang Baru Sungai Lokan menyebabkan dua orang rentung
- Anak Ahmad Lin @ Mustafa, Mohd Fitri, antara yang rentung dalam kemalangan itu
- Ahmad Lin reda dengan ketentuan Allah walaupun berat kehilangan anak
- Identiti mangsa kedua yang rentung masih belum dapat dipastikan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
