Dua mangsa rentung dalam kereta terbakar disahkan lelaki

BUTTERWORTH – Dua individu yang maut dalam kemalangan di Jalan Permatang Baru, Sungai Lokan di sini pada pagi Sabtu disahkan lelaki dan menaiki kereta jenis Proton Saga BLM.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.09 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Butterworth bergegas ke lokasi kejadian.
Menurutnya, setibanya di lokasi pada jam 7.21 pagi, didapati sebuah kereta terbakar dengan kemusnahan dianggarkan sebanyak 80 peratus.
“Terdapat dua mangsa dipercayai lelaki ditemukan rentung di dalam kenderaan terbabit.

“Bagaimanapun, identiti kedua-dua lelaki berkenaan masih belum dapat dikenal pasti,” katanya dalam kenyataan di sini pada Sabtu.
John Sagun berkata, pasukan bomba menjalankan kerja-kerja pemadaman serta overhaul bagi memastikan lokasi kejadian selamat daripada risiko lain.
Katanya, kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan sebelum mayat dibawa ke Hospital Kepala Batas untuk bedah siasat.
“Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 10.55 pagi dan kes diserahkan kepada Pasukan Forensik Kebakaran (FIO) untuk siasatan lanjut,” katanya lagi.
Ringkasan AI
- Dua individu maut dalam kemalangan di Jalan Permatang Baru, Sungai Lokan adalah lelaki menaiki Proton Saga BLM
- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pulau Pinang menerima panggilan kecemasan pada jam 7.09 pagi
- Kereta terbakar dengan kemusnahan dianggarkan sebanyak 80 peratus
- Dua mangsa lelaki ditemukan rentung di dalam kenderaan
- Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Kepala Batas untuk bedah siasat
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

