Pesara cacat penglihatan rugi lebih RM400,000 ditipu sindiket phone scam

Mangsa yang berusia 73 tahun menerima panggilan daripada suspek yang menyamar sebagai wakil syarikat insurans. Gambar hiasan
Mangsa yang berusia 73 tahun menerima panggilan daripada suspek yang menyamar sebagai wakil syarikat insurans. Gambar hiasan
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang pesara lelaki cacat penglihatan kerugian sebanyak RM431,742 selepas diperdaya sindiket phone scam.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, pada 24 Jun lepas, mangsa yang berusia 73 tahun menerima panggilan daripada suspek yang menyamar sebagai wakil syarikat insurans.

Beliau berkata, suspek mendakwa mangsa telah membuat tuntutan insurans kesihatan palsu dan bakal berdepan tindakan undang-undang.

"Mangsa yang buta bagaimanapun menafikan dakwaan berkenaan. Dia kemudiannya disambungkan kepada suspek lain yang menyamar sebagai polis.

"Selain tuntutan insurans palsu, mangsa juga didakwa terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram. Suspek mengarahkan mangsa supaya membuka satu akaun bank baharu untuk tujuan siasatan dan tidak dibenarkan menggunakan akaun berkenaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Azli berkata, mangsa yang bimbang dikenakan hukuman penjara telah meminta isterinya membuka akaun baharu dan memindahkan semua wang simpanan dia dan isteri ke akaun baharu berkenaan.

Bagaimanapun, pada 25 September lepas dia telah memaklumkan perkara itu kepada anaknya yang bertindak memeriksa akaun baharu berkenaan.

"Semakan mendapati terdapat aktiviti pemindahan wang berjumlah RM431,742 secara berperingkat dari tempoh 6 Julai hingga 14 Ogos lepas dari akaun baharu mangsa ke akaun tidak dikenali.

"Mangsa yang kehilangan semua wang simpanan membuat laporan polis tengah hari semalam. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.- Bernama

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Pesara lelaki cacat penglihatan kerugian RM431,742 akibat phone scam
  • Mangsa berusia 73 tahun diperdaya dengan dakwaan tuntutan insurans kesihatan palsu
  • Suspek menyamar sebagai wakil syarikat insurans dan polis
  • Mangsa membuka akaun bank baru atas arahan suspek dan memindahkan semua wang simpanan
  • Kehilangan wang simpanan disedari selepas diperiksa oleh anak mangsa, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!