Pesara wanita rugi RM2.24 juta ditipu sindiket penipuan panggilan telefon

KUCHING - Seorang pesara swasta berusia 66 tahun di Miri kerugian lebih RM2.24 juta selepas menjadi mangsa sindiket penipuan panggilan yang menyamar sebagai pegawai Touch ‘n Go dan polis.
Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, mangsa yang merupakan wanita tempatan menerima panggilan daripada individu mendakwa wakil Touch ‘n Go yang menuduhnya terlibat dalam sindiket penipuan dalam talian.
"Panggilan itu kemudiannya disambungkan kepada seorang pegawai polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang yang mengarahkan mangsa mengeluarkan semua simpanan termasuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kononnya untuk tujuan siasatan,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Mohd Farhan berkata, mangsa menyerahkan wang berjumlah RM2,244,404 melalui pindahan bank di kaunter, transaksi dalam talian serta serahan tunai kepada seorang lelaki tidak dikenali di sebuah lokasi sunyi tanpa kehadiran orang awam.
Mangsa hanya menyedari dirinya ditipu selepas membuat semakan dan pengesahan sebelum tampil membuat laporan polis. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. - Bernama
Ringkasan AI
- Seorang pesara swasta berusia 66 tahun di Miri kerugian lebih RM2.24 juta akibat sindiket penipuan
- Mangsa menerima panggilan dari individu menyamar sebagai pegawai Touch 'n Go dan polis
- Mangsa diarahkan mengeluarkan semua simpanan termasuk KWSP untuk tujuan siasatan palsu
- Wang diserahkan melalui pindahan bank, transaksi dalam talian dan serahan tunai kepada individu tidak dikenali
- Mangsa membuat laporan polis setelah menyedari ditipu, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
