Covid-19: Kedah hadkan operasi premis perniagaan - Exco

Tan Kok Yew
Tan Kok Yew
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan Negeri Kedah mempertingkatkan langkah kawalan penularan koronavirus (Covid-19) dengan mengehadkan waktu operasi premis perniagaan atau jenis perkhidmatan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

Exco Industri dan Pelaburan, Kerajaan Tempatan dan Perumahan Kedah, Tan Kok Yew berkata, semua peniaga diminta mematuhi waktu dibenarkan beroperasi bermula 6 pagi hingga 8 malam berkuatkuasa hari ini, di seluruh negeri.

Menurutnya, antara premis terbabit adalah kedai menjual makanan dan minuman, bengkel, kedai alat ganti, penghawa dingin, premis menjual keperluan haiwan, kedai runcit dan pasar raya.

“Premis yang menjual makanan minuman termasuk restoran, warung, medan selera, food court, penjaja kecil tepi jalan atau beredar, serta food truck dibenarkan menjaja secara pembungkusan atau penghantaran sahaja,” katanya, dalam kenyataan media hari ini.

Kok Yew berkata, manakala kedai serbaneka 24 jam seperti 7 Eleven dan KK Supermart boleh beroperasi sehingga 10 malam.

“Stesen minyak serta kedai serbaneka dalam stesen minyak boleh beroperasi mengikut kelulusan lesen sedia ada tetapi digalakkan untuk tutup lebih awal,” katanya.

Menurutnya, langkah itu diambil susulan masih terdapat segelintir masyarakat yang gagal mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan dengan menjalankan aktiviti harian seperti berkumpul, makan dan minum di kedai serta beratur tanpa menjarakkan diri.

“Perbuatan itu akan menjejaskan usaha kerajaan membendung penularan Covid-19 yang melanda negara kita. Kita harap tindakan ini dapat menyedarkan masyarakat tentang kepentingan mendisiplinkan diri, menjaga kebersihan dan keselamatan diri dan keluarga serta komuniti,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Kok Yew berkata, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) juga diarahkan untuk menempatkan pegawai atau anggota di lapangan seperti pasar raya dan kedai serbaneka, sambil memberi nasihat kepada individu yang tidak mematuhi arahan dikeluarkan.

“PBT juga perlu menjalankan kerja pembersihan dan sanitasi bagi menghapuskan virus di pasar awam dan tempat awam yang difikirkan perlu dari semasa ke semasa,” katanya.

Menurutnya, pihaknya akan memastikan orang ramai mempunyai akses mencukupi untuk bahan makanan serta barang keperluan bagi mengelakkan situasi panik sehingga bertindak melulu dengan membuat pembelian panik.

“Saya turut sarankan PBT membuat sebaran maklumat seperti senarai kedai makan dan perniagaan yang memberi perkhidmatan perlu berserta nombor telefon, melalui pelbagai medium bagi memudahkan rakyat membuat tempahan dan penghantaran. Ia dapat meminimumkan pergerakan rakyat,” katanya.

Kok Yew berkata, operasi kilang dan sektor berkaitan dengan komoditi yang dibenarkan beroperasi adalah tidak tertakluk kepada arahan berkenaan memandangkan ia bawah bidang kuasa Persekutuan.

“Tinggalkan seketika budaya melepak, santai, makan di warung,gerai,kedai bersama rakan, elak bergerak ke mana-mana kecuali sangat perlu.

"Jika perlu keluar, keluar berseorangan dan bukan berkumpulan, hanya pergi ke tempat terdekat untuk membeli barangan keperluan atau makanan dalam tempoh singkat,” katanya.