Pelan Damai Trump: Kesediaan Hamas berunding bukan tanda lemah - ABIM

Ahmad Fahmi ketika Himpunan Sumud Flotilla bertempat di ibu negara pada Sabtu. - Foto: Facebook ABIM
Ahmad Fahmi ketika Himpunan Sumud Flotilla bertempat di ibu negara pada Sabtu. - Foto: Facebook ABIM
A
A
A

SHAH ALAM - Kesediaan pasukan pejuang Palestin, Hamas untuk berunding berdasarkan pelan damai Gaza yang dikemukakan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump satu isyarat jelas bahawa ia bukan tanda kelemahan.

Sebaliknya, menurut Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Ahmad Fahmi Mohd Samsudin, ini membuktikan kesediaan politik Hamas yang berakar dalam prinsip perjuangan rakyat Palestin.

Beliau berkata, selepas lebih tujuh dekad hidup di bawah penjajahan rejim Israel dan melalui pelbagai fasa penindasan termasuk hampir dua tahun perang selepas 7 Oktober, Hamas kini menzahirkan kematangan politik yang lebih besar.

Jelasnya, Hamas menunjukkan kesanggupan untuk membuka ruang kompromi teknikal, namun tetap berpegang teguh kepada prinsip asas iaitu menghentikan pengeboman, pengunduran penuh rejim Zionis, penolakan pengusiran dan penegasan bahawa masa depan Palestin hanya boleh ditentukan oleh rakyatnya sendiri tanpa campur tangan luar.

"ABIM menegaskan bahawa proses damai tidak boleh bergantung kepada kenyataan politik sahaja, tetapi mesti disertai dengan jaminan jelas dan kawalan antarabangsa.

"Walaupun kenyataan Hamas membuka ruang kepada kemungkinan rundingan susulan dan ia diraikan masyarakat Gaza dengan penuh harapan, realiti di lapangan masih menyaksikan Israel terus menjarah serta membedil hingga menambah angka korban awam.

"Justeru, pemantauan bebas, jaminan keselamatan rakyat dan akses kemanusiaan tanpa sekatan menjadi syarat mutlak agar semua pihak dipertanggungjawabkan secara seimbang di bawah undang-undang antarabangsa," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Sebelum ini, Hamas mengumumkan kesediaan untuk 'segera' memasuki rundingan melalui perantara bagi membincangkan dan membebaskan semua tebusan Israel berdasarkan pelan damai Gaza dikemukakan Trump.

Bagaimanapun, kumpulan itu tidak menerima pelan Trump tanpa syarat.

Artikel Berkaitan:

Dua tuntutan utama pelan Trump adalah pembebasan baki 48 tebusan dalam tempoh 72 jam serta penyerahan kuasa pentadbiran Gaza, yang pada awalnya dilihat sebagai ‘garisan merah’ untuk Hamas.

Mengulas lanjut, Ahmad Fahmi turut mengingatkan bahawa inisiatif damai tersebut tidak boleh dijadikan sandiwara politik atau peluang mengejar pengiktirafan peribadi seperti anugerah Nobel Keamanan, sementara penderitaan rakyat Palestin terus berpanjangan.

Tambahnya, hak Palestin bukan bahan tawar-menawar atau modal politik mana-mana kuasa besar, sebaliknya ia mesti dihormati sebagai prinsip asas keadilan antarabangsa.

Justeru, bagi memastikan perkembangan positif itu berlangsung tanpa halangan, beliau berpendapat bahawa satu misi pemerhati antarabangsa di bawah seliaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mesti dihantar ke lapangan serta-merta.

"Langkah ini penting bagi memastikan gencatan senjata benar-benar dihormati, keselamatan rakyat Palestin terjamin dan bantuan kemanusiaan dapat disalurkan tanpa sekatan.

"Kehadiran pemerhati sah melalui PBB akan menjadi bukti tanggungjawab melindungi rakyat Palestin adalah amanah kolektif masyarakat antarabangsa dan keamanan hanya dapat dicapai melalui komitmen bersama yang tegas.

"Masyarakat antarabangsa mesti bangkit menunaikan tanggungjawab memastikan rakyat Palestin dapat melaksanakan hak mutlak mereka untuk menentukan nasib sendiri. Bebas campur tangan luar selaras Resolusi Perhimpunan Agung PBB 3236 yang diterimapakai pada 22 November 1974 dan berasaskan sempadan sebelum 1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara Palestin," ujarnya.

Ahmad Fahmi juga memaklumkan, ABIM tetap dengan pendiriannya menolak pelan damai unilateral Trump kerana ia seolah-olah menafikan hak rakyat Palestin untuk menentukan masa depan mereka sendiri.

Ringkasan AI

  • Kesediaan Hamas untuk berunding berdasarkan pelan damai menunjukkan kesediaan politik yang berprinsip dalam perjuangan rakyat Palestin
  • Hamas menzahirkan kematangan politik dengan membuka ruang kompromi namun tetap berpegang kepada prinsip asas perjuangan mereka
  • ABIM menekankan proses damai harus disertai jaminan jelas dan kawalan antarabangsa
  • Pemantauan bebas dan jaminan keselamatan rakyat merupakan syarat utama untuk memastikan keamanan
  • ABIM menolak pelan damai Trump sebagai usaha unilateral yang menafikan hak rakyat Palestin

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!