Pelakon Korea Jeon Hye-bin hilang hampir RM45,000 dalam 10 minit di Bali

[DIKEMAS KINI] PELAKON Korea Selatan, Jeon Hye-bin, 41, mengalami kehilangan wang sebanyak 15 juta won (RM44,843) hanya dalam tempoh 10 minit selepas kad kreditnya dicuri ketika bercuti di Bali.
Hye-bin berkongsi pengalaman itu di Instagramnya pada Rabu, memberi amaran kepada pengunjung di Ubud dan seluruh pulau berkenaan supaya lebih berhati-hati.
“Kad saya dicuri di kawasan ini, dan 15 juta won telah dicaj dalam tempoh 10 minit selepas kehilangannya. Sila berhati-hati semua yang berada di Ubud atau merancang untuk melancong ke sini,” tulisnya.
Dalam pada itu, Hye-bin turut memuji tindak balas pantas pihak berkuasa tempatan.
“Terima kasih kepada bantuan adil dan mesra dari polis Bali, saya dapat menyelesaikan siasatan dengan lancar. Malam tadi, kami tiba dengan selamat di destinasi seterusnya,” katanya.
Kedutaan Korea Selatan di Indonesia mengesahkan Bali masih relatif selamat, tetapi menggesa pengunjung supaya sentiasa berwaspada, terutamanya pada waktu malam.
Pihak berkuasa juga menasihatkan pelancong segera melaporkan kehilangan atau kecurian kad kredit kepada penerbit kad bagi mengurangkan kerugian kewangan. Laporan polis boleh dijadikan dokumentasi untuk tuntutan insurans atau bank.
Hye-bin memulakan kerjaya hiburannya sebagai ahli kumpulan K-pop LUV pada 2002 dan kini dikenali sebagai pelakon drama Korea seperti The Queen of Office (2013), Gunman in Joseon (2014), dan terbaru Beyond the Bar (2025).-Agensi
Ringkasan AI
- PELAKON Korea Selatan, Jeon Hye-bin, kehilangan wang sebanyak 15 juta won saat bercuti di Bali
- Hye-bin memberi amaran di Instagramnya kepada pengunjung di Ubud untuk lebih berhati-hati
- Kad kredit Hye-bin dicuri dan wangnya dicaj dalam masa 10 minit
- Hye-bin memuji tindak balas pantas pihak berkuasa Bali dalam menyelesaikan masalahnya
- Kedutaan Korea Selatan di Indonesia mengesahkan Bali masih relatif selamat tetapi menggesa pengunjung supaya berwaspada
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

