GSF: Usaha bebaskan aktivis, Malaysia terima bantuan pelbagai negara termasuk ASEAN

Mohamad (tengah) ketika sidang media perkembangan terkini 23 peserta Malaysia Global Sumud Flotilla (GSF) yang kini ditahan Israel di Pusat Gerakan Operasi Sumud Nusantara (SNCC) pada Sabtu. Foto Bernama
Mohamad (tengah) ketika sidang media perkembangan terkini 23 peserta Malaysia Global Sumud Flotilla (GSF) yang kini ditahan Israel di Pusat Gerakan Operasi Sumud Nusantara (SNCC) pada Sabtu. Foto Bernama
A
A
A

SEPANG - Malaysia menerima bantuan daripada beberapa negara termasuk negara anggota ASEAN dalam usaha membebaskan aktivis kemanusiaan yang ditahan pihak berkuasa Israel selepas menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF), kata Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata, kerajaan kini menggerakkan pelbagai saluran diplomatik melalui rakan antarabangsa yang mempunyai kedutaan di Israel termasuk Amerika Syarikat, Turkiye, Jordan dan Mesir bagi memastikan keselamatan dan pembebasan rakyat Malaysia yang masih dalam tahanan.

"Kita memang dah jangkakan keadaan begini akan berlaku, jadi kita telah pun berbincang sesama rakan-rakan khususnya daripada ASEAN.

"(memandangkan) Malaysia tidak mempunyai kedutaan di Israel, kita telah minta supaya negara-negara rakan memberikan bantuan konsular kepada rakyat kita yang ditahan,” katanya pada sidang media selepas meninjau Pusat Gerakan Operasi Sumud Nusantara (SNCC) di sini pada Sabtu.

Mohamad berkata, setakat ini, Jordan dan Turkiye telah memberi jaminan untuk membantu proses membawa pulang rakyat Malaysia sebaik sahaja mereka dibebaskan.

Beliau berkata, Amerika Syarikat melalui timbalan menteri luarnya turut menyatakan komitmen untuk membantu melalui kedutaannya di Tel Aviv dan bersedia memberikan apa jua bantuan yang diperlukan rakyat Malaysia.

Semua misi diplomatik Malaysia di Jordan, Turkiye, Kaherah dan Algeria katanya, kini berada dalam keadaan siap siaga untuk memberikan bantuan dan sokongan logistik sekiranya rakyat Malaysia dibebaskan melalui mana-mana pintu sempadan.

"Kita tidak tahu (laluan mana tahanan akan dilepaskan) sebab ini terpulang kepada pihak rejim Zionis Israel untuk menghantar mereka balik," katanya.

Mohamad turut memaklumkan bahawa komunikasi antara barisan peguam yang mewakili GSF dan aktivis tidak dapat dilakukan pada waktu ini kerana Israel sedang menyambut perayaan Yom Kippur, yang juga cuti umum sekali gus menyebabkan pejabat kerajaan dan diplomatik ditutup.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, situasi itu telah menangguhkan sementara proses diplomasi dan rundingan untuk membawa pulang aktivis GSF.

"Jangan risau, kerajaan sentiasa memantau keadaan mereka secara ‘by the second’….Kita harap hari Isnin nanti, bila pejabat dibuka semula, kita akan dapat berhubung semula. Tapi hubungan kita melalui perantaraan negara sahabat sentiasa dalam keadaan yang amat baik,” katanya.

Misi GSF yang disertai lebih 500 aktivis dari 44 negara, termasuk Malaysia belayar menuju Gaza sebagai simbol solidariti dan usaha memecahkan sekatan Israel dengan membawa bekalan penting untuk penduduk Palestin yang terjejas akibat serangan berterusan rejim Zionis.

Kementerian Luar sebelum ini mengesahkan kesemua 23 rakyat Malaysia yang menyertai GSF telah ditahan dan akan dihantar pulang melalui negara ketiga. - Bernama

 

 

Ringkasan AI

  • Malaysia menerima bantuan dari beberapa negara ASEAN dan internasional termasuk Turkiye dan Amerika Syarikat untuk membebaskan aktivis kemanusiaan yang ditahan Israel
  • Kerajaan Malaysia menggunakan saluran diplomatik melalui rakan antarabangsa untuk keselamatan dan pembebasan rakyat Malaysia
  • Jordan dan Turkiye telah memberi jaminan untuk membantu proses membawa pulang rakyat Malaysia setelah dibebaskan
  • Semua misi diplomatik Malaysia di beberapa negara berada dalam keadaan siap siaga untuk memberikan bantuan logistik
  • Kegiatan diplomatik dan rundingan sementara terhenti disebabkan Israel menyambut Yom Kippur

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!