Covid-19: Penumpang feri Langkawi wajib pakai topeng muka

Penumpang feri Langkawi diwajibkan pakai penutup hidung dan mulut berkuatkuasa serta-merta.
Penumpang feri Langkawi diwajibkan pakai penutup hidung dan mulut berkuatkuasa serta-merta.
A
A
A

ALOR SETAR - Jabatan Laut Malaysia mewajibkan penumpang yang menaiki feri ke Langkawi memakai topeng muka penutup hidung dan mulut.

Pegawai Laut Langkawi, Ghadzali Ahmad berkata, arahan pemakaian itu berkuatkuasa serta merta dan penumpang yang gagal mematuhi arahan tersebut akan dihalang menaiki feri.

Katanya, arahan berkenaan bertujuan melindungi penumpang dan kru feri daripada terdedah dengan wabak yang kian teruk melanda Malaysia.

"Berdasarkan pemerhatian pihak jabatan, masih terdapat penumpang yang tidak memakai topeng muka.

"Persekitaran pengudaraan yang terhad dalam feri serta ruang yang sempit turut menyebabkan penumpang dan kru feri lebih berisiko berbanding berada di tempat terbuka,"katanya.

Menurutnya, arahan ini juga bertujuan mendidik masyarakat betapa pentingnya menjaga kesihatan diri di samping memberi keyakinan kepada semua penumpang menggunakan perkhidmatan feri ketika ini.

"Notis mengenai arahan ini akan ditampal di kaunter tiket supaya penumpang dapat menyediakan topeng muka sebelum menaiki feri,"katanya.

Sebelum ini, konsortium Ferry Line Ventures telah mengurangkan trip perjalanan daripada dua trip kepada satu trip sehari bagi laluan Langkawi ke Kuala Kedah dan Kuala Perlis.

Artikel Berkaitan:

Pengurus Sumber Manusia dan Operasi, Konsortium Ferry Line Ventures, Kapten Baharin Baharom berkata, pihaknya juga mempertimbangkan untuk menjual separuh sahaja tempat duduk feri bagi membolehkan setiap penumpang duduk pada jarak disarankan Kementerian Kesihatan bagi mengekang penyebaran Covid-19.