Melombong bitcoin haram guna elektrik curi

Sebanyak 50 mesin bitcoin ditemui di dalam premis tingkat dua sebuah bangunan komersial yang mneggunakan sambungan elektrik curang.
Sebanyak 50 mesin bitcoin ditemui di dalam premis tingkat dua sebuah bangunan komersial yang mneggunakan sambungan elektrik curang.
A
A
A

KLANG - Pandangan dari luar tampak seperti premis perniagaan biasa namun tanpa disedari tersembunyi kegiatan melombong bitcoin haram yang menjarah elektrik dalam bangunan komersial dua tingkat di Jalan Sungai Putus di sini sejak setahun lalu.

Tindakan licik memilih lokasi sibuk dengan deretan kedai runcit di tingkat bawah bangunan bertujuan mengaburi mata orang ramai berbanding kes-kes berkaitan matawang kripto yang sebelum ini lebih banyak beroperasi di kawasan terpencil.

Malah tingkat atas bangunan itu kelihatan seolah-olah kosong kerana pintu bahagian tangga dipasang jeriji dan berkunci tanpa papan tanda.

Pasukan Special Engagement Against Losses (Seal) TNB memeriksa kotak meter utama di bawah premis.
Pasukan Special Engagement Against Losses (Seal) TNB memeriksa kotak meter utama di bawah premis.

Hasil risikan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) melalui agensi di bawahnya iaitu Suruhanjaya Tenaga (ST) dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB) berjaya membongkar kegiatan mencuri elektrik itu dalam serbuan melibatkan sepasukan 20 pegawai penguat kuasa baru-baru ini.

Pemeriksaan pada kotak meter di laluan tangga menemui wayar tambahan yang dipasang berasingan bagi memintas aliran elektrik ke premis tersebut dengan tujuan mengelak sebarang bacaan pada meter.

Bukan itu sahaja, kotak meter milik premis lain yang berada di laluan tangga bersebelahan turut dipintas menjadikan premis menjalankan perlombongan bitcoin itu menggunakan kapasiti tenaga elektrik yang amat besar.

Pintasan penuh terhadap meter TNB itu dipercayai dilakukan oleh individu yang mahir mengenai sistem pendawaian elektrik.

Artikel Berkaitan:

Menurut Pengarah Jabatan Penguatkuasaan dan Operasi Kawasan ST, Ismail Zaili Yusop yang mengetuai serbuan tersebut, terdapat titik haba luar biasa pada sistem pendawaian elektrik yang membuktikan pengaliran elektrik secara berlebihan dan berterusan tanpa rekod di meter.

Infografik
Infografik

“Ini menunjukkan ada barangan atau mesin yang menggunakan beban tenaga elektrik sangat tinggi di tingkat dua,” katanya kepada Sinar Harian yang turut sama dalam serbuan berkenaan.

Selepas mengesan pemasangan haram itu, pasukan penguat kuasa mendekati pintu besi yang menjadi laluan utama memasuki premis berkenaan yang berkunci.

Ekoran tiada yang memberi respons ketika pintu diketuk beberapa kali, pegawai dari pasukan Special Engagement Against Losses (Seal) TNB bertindak memotong pintu besi yang mempunyai tiga lapisan berasingan.

Sebanyak 50 mesin bitcoin dirampas oleh ST bagi tujuan sitaan.
Sebanyak 50 mesin bitcoin dirampas oleh ST bagi tujuan sitaan.

Sebaik mata besi pemotong menembusi lapisan ketiga, kedengaran bunyi seperti ngauman mesin industri memenuhi ruang premis yang gelap-gelita apabila semua tingkap ditutup dengan kain hitam.

Terdapat satu ruangan seakan sebuah bilik kecil menempatkan 50 buah mesin bitcoin yang disusun secara menegak dengan wayar berselirat yang dipercayai beroperasi 24 jam tanpa henti.

Lantai pada ruangan utama di bahagian depan juga ditebuk bagi menyalurkan wayar yang disambung untuk pemintasan elektrik pada kotak meter di bahagian tangga.

Pasukan Seal TNB bertindak menutup bekalan elektrik utama dan ST merampas kesemua mesin serta peralatan tersebut.

Menara pam air diletakkan di dalam bilik air bagi memberikan udara sejuk dalam kediaman.
Menara pam air diletakkan di dalam bilik air bagi memberikan udara sejuk dalam kediaman.

Premis itu juga turut dilengkapi dengan lima kamera litar tertutup (CCTV) dipercayai untuk memantau kehadiran pihak berkuasa.

Ketika operasi sedang dilakukan, tampil seorang lelaki tempatan berusia dalam lingkungan 30-an mengaku sebagai pemilik premis namun mendakwa tidak mengetahui digunakan penyewa untuk perlombongan bitcoin haram.

Malah katanya, penyewa membayar sewa bulanan hanya melalui mesin deposit tunai (CDM), menjadikannya sukar untuk mengesan siapa penyewa berkenaan.

Ujar Ismail Zaili, tindakan mencuri elektrik itu menyebabkan kerugian hampir RM50,000 sebulan yang sepatutnya dicatatkan dalam bil elektrik premis berkenaan.

Malah dalang di sebalik kegiatan tersebut seakan mencabar pihak berkuasa kerana premis tersebut sebelum ini pernah diserbu sebanyak lima kali oleh TNB dalam bidang kuasa memotong bekalan elektrik.

Secara tidak langsung, ia jelas melibatkan satu sindiket yang menjalankan operasi secara serius dan sanggup berdepan risiko undang-undang.

Sebanyak enam mesin pelombongan bitcoin ditemui dalam rumah teres dua tingkat tidak berpenghuni.
Sebanyak enam mesin pelombongan bitcoin ditemui dalam rumah teres dua tingkat tidak berpenghuni.

Sementara itu, dalam satu lagi serbuan berasingan di kawasan perumahan dekat Jalan Sungai Batu, sepasukan penguat kuasa mengesan sebuah rumah teres dua tingkat menjalankan kegiatan sama dengan memintas aliran elektrik di luar kotak meter.

Pagar tertutup rapat dan berkunci manakala langsir di dalam rumah dirapatkan seakan tidak berpenghuni.

Tingkat bawah rumah dibiarkan kosong namun laluan tangga ke tingkat atas disekat menggunakan papan tebal bagi menapis bunyi bising.

Hasil serbuan menemukan dua tangki pam air diletakkan dalam bilik tidur dan bilik air di tingkat atas yang menjadi ejen pendingin hawa bagi merendahkan suhu enam mesin perlombongan bitcoin.

Berdasarkan tinjauan Sinar Harian di lokasi berkenaan, seorang wanita tinggal berdekatan bangunan itu mendedahkan sering melihat dua dan kadangkala tiga lelaki memasuki rumah sewa itu pada sebelah malam.

“Rumah saya berada di belakang rumah ini dan akan dengar bunyi bising mesin pada waktu malam.

“Memang pelik (bunyi bising) sebab ini kawasan perumahan dan tiada kilang berhampiran kawasan ini,” katanya.

Pasangan suami isteri berusia lingkungan 40-an yang mendakwa sebagai pemilik rumah itu turut hadir ketika serbuan dilakukan namun tidak mengetahui individu sebenar penyewa.

Dakwa mereka, rumah itu diuruskan oleh ejen yang turut menerima wang sewa melalui mesin CDM.

Timbalan Pengarah Unit Perancangan dan Penyelarasan Penguatkuasaan Suruhanjaya Tenaga (ST), Ir Ts Khairul Anwar A Razak memaklumkan, rumah tersebut menggunakan tenaga elektrik melebihi 120 amp iaitu menyamai kegunaan empat buah rumah.

“Kerugian daripada aktiviti elektrik curang ini dianggarkan bernilai hampir RM9,000 sebulan,” katanya.

 

 

Ringkasan AI

  • Premis di Jalan Sungai Putus, Klang menjalankan kegiatan perlombongan bitcoin secara haram dengan mencuri elektrik
  • Lokasi premis di kawasan sibuk sengaja dipilih untuk mengaburi penglihatan orang ramai
  • Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air bersama TNB dan Suruhanjaya Tenaga membongkar kegiatan ini melalui serbuan
  • Wayar tambahan dipasang untuk memintas aliran elektrik, menunjukkan penggunaan tenaga besar secara tidak sah
  • Serbuan di rumah teres di Jalan Sungai Batu juga mengesan kegiatan sama, dengan pemasangan alat pemintas elektrik

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!