Peguam akhirnya dibenarkan berjumpa dengan aktivis Malaysia di Ashdod

Sani Araby ketika sidang media harian Misi Global Sumud Flotila Sumud Nusantara di Bilik Gerakan Sumud Nusantara pada Jumaat. Foto Bernama
Sani Araby ketika sidang media harian Misi Global Sumud Flotila Sumud Nusantara di Bilik Gerakan Sumud Nusantara pada Jumaat. Foto Bernama
A
A
A

SEPANG – Wakil perundangan Malaysia di Ashdod akhirnya dibenarkan berjumpa dengan semua delegasi Malaysia yang ditahan selepas melalui proses rundingan yang panjang.

Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim berkata, pada peringkat awal, wakil perundangan tersebut dinafikan akses untuk berhubung dengan aktivis Malaysia yang menyertai Misi Global Sumud Flotilla (GSF).

Katanya, selepas tekanan kuat daripada komuniti antarabangsa termasuk negara-negara Eropah, ASEAN serta Malaysia sendiri, pihak berkuasa Israel akhirnya memberi laluan kepada wakil undang-undang bertemu delegasi.

“Ini adalah hasil daripada desakan dunia yang bangkit, termasuk tekanan diplomatik yang konsisten. Hasilnya, wakil kita akhirnya dapat bertemu mereka,” katanya pada sidang media di Mapim Central Warehouse, Sepang, malam Jumaat.

Menurut beliau, pertemuan itu membolehkan SNCC mengesahkan bahawa semua delegasi Malaysia berada dalam keadaan selamat dan sihat.

Mengulas lanjut, Sani Araby menjelaskan bahawa komunikasi dengan aktivis Malaysia tidak dapat dilakukan secara langsung sejak mereka ditahan kerana semua telefon bimbit telah dicampakkan ke laut mengikut prosedur keselamatan flotila.

“Ketika kapal diserbu, telefon dibuang keluar untuk mengelakkan akses musuh. Justeru, komunikasi terus dengan mereka tidak ada sejak itu,” ujarnya.

Beliau bagaimanapun berkata, mesej SOS berjaya dihantar oleh kapten kapal sebelum ia dirampas tentera Zionis, sekali gus mengesahkan penahanan mereka.

Dalam pada itu, Sani Araby menegaskan penahanan delegasi Malaysia serta ratusan aktivis antarabangsa lain adalah tindakan tidak munasabah kerana misi flotila ini bersifat aman tanpa sebarang senjata.

Artikel Berkaitan:

Katanya, seluruh peserta memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa Israel sepanjang proses rampasan kapal, malah rakaman kamera litar tertutup (CCTV) boleh membuktikan mereka tidak melakukan sebarang tindakan mencurigakan.

“Delegasi kita tidak pernah membawa senjata, tidak pernah melakukan provokasi. Semua bukti jelas menunjukkan mereka tidak menimbulkan ancaman,” ujarnya.

Justeru, beliau menyifatkan tindakan Israel menahan peserta flotila sebagai pencabulan serius terhadap hak asasi manusia dan pelanggaran prinsip kemanusiaan antarabangsa.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!