Klinik daif dinaik taraf, rakyat tarik nafas lega

Klinik Kesihatan Permatang Badak antara lima klinik daif di daerah Kuantan yang terlibat dalam projek baik pulih tahun ini.
Klinik Kesihatan Permatang Badak antara lima klinik daif di daerah Kuantan yang terlibat dalam projek baik pulih tahun ini.
A
A
A

SHAH ALAM – Klinik desa yang uzur dan serba kekurangan kini bakal menikmati nafas baharu apabila kerajaan melalui Belanjawan 2025 memperuntukkan RM300 juta untuk menaik taraf sebanyak 460 klinik daif di seluruh negara.

Langkah itu disambut baik penduduk luar bandar yang sekian lama bergantung kepada klinik kesihatan sebagai pusat rawatan asas.

Bagi mereka, klinik bukan sekadar tempat berjumpa dan mendapatkan rawatan tetapi talian hayat untuk mendapatkan ubat-ubatan, rawatan kecemasan serta pemeriksaan penyakit kronik.

Salah sebuah klinik desa yang mendapat manfaat daripada Belanjawan 2025 ialah Klinik Desa Siputeh, Ipoh yang dilihat dari luar, bangunannya kelihatan segar dengan cat baharu dan reka bentuk moden.

Melangkah ke dalam, suasananya jauh berbeza berbanding klinik lama yang pernah uzur dan sempit suatu ketika dahulu.

Itulah wajah terbaharu Klinik Desa Siputeh, terletak kira-kira 30 kilometer (km) dari bandar Ipoh, yang kini siap dibaik pulih di bawah Projek Klinik Daif.

Klinik Desa Siputeh yang sebelum ini bangunan kayu digantikan dengan fasiliti moden yang lebih praktikal.
Klinik Desa Siputeh yang sebelum ini bangunan kayu digantikan dengan fasiliti moden yang lebih praktikal.

Naik taraf itu bukan sahaja memberi keselesaan kepada pesakit, malah memperluas skop perkhidmatan daripada sekadar rawatan ibu dan anak kepada rawatan pesakit luar, kecemasan kes akut, farmasi dan makmal.

Artikel Berkaitan:

Bangunan kayu lama yang pernah menjadi tumpuan ibu mengandung dan bayi kini digantikan dengan fasiliti moden yang lebih praktikal.

Ruang menunggu diperbesarkan, kerusi tambahan disediakan, manakala pegawai perubatan tetap ditempatkan setiap hari untuk memastikan urusan rawatan berjalan lancar.

Bagi warga emas, Umi Sadariah Mohd Nor, 71, perubahan itu membawa makna besar kerana beliau antara pengguna setia klinik desa sejak berpindah ke Siputeh pada tahun 1980-an.

UMI SADARIAH
UMI SADARIAH

“Nampak moden, cantik dan bersih, jauh beza dengan dulu yang uzur dan bertangga. Saya selalu datang untuk pemeriksaan darah tinggi dan kencing manis, sekarang lebih selesa. Bangku banyak, tak perlu berdiri lama," katanya.

Menurut Umi Sadariah, urusan rawatan di klinik desa baharu ini lebih cepat dan lancar.

"Tidak sampai setengah jam semua selesai. Kami warga emas gembira dengan perubahan ini sebab masih ramai bergantung pada klinik desa, termasuk ibu mengandung dan suri rumah," katanya.

Dengan wajah baharu yang lebih segar dan mesra pengguna, Klinik Desa Siputeh kini kembali menjadi nadi penting masyarakat setempat untuk mendapatkan rawatan asas dengan lebih yakin, selesa dan cepat.

Inisiatif naik taraf klinik satu rahmat

Sementara itu, penduduk di kawasan sekitar Klinik Kesihatan Permatang Badak, Kuantan juga bersyukur kerana keadaan klinik desa itu berbeza berbanding sebelum ini.

Klinik desa yang wujud sejak tahun 70-an telah dinaik taraf kepada klinik kesihatan pada 2011 itu jauh lebih baik berbanding dahulu selepas beberapa kali dibaik pulih termasuk kali terakhir disiapkan Julai lalu.

Selama ini mereka terpaksa menunggu dalam ruang agak sesak dan tidak selesa dan ia menjadi keadaan ‘biasa’ bagi mereka yang datang mendapatkan rawatan beberapa tahun lalu.

Yussafira Yusof, 36 yang telah mendapatkan khidmat rawatan dan pemeriksaan ibu mengandung di klinik tersebut antara saksi kepada perubahan dan transformasi klinik kesihatan itu dari 2011 hingga kini.

YUSSAFIRA
YUSSAFIRA

Suri rumah itu berkata, Klinik Kesihatan Permatang Badak besar erti bagi keluarganya kerana rawatan dan pemeriksaan ketika mengandungkan keenam-enam anaknya termasuk bayi dalam kandungan ketika ini dibuat di situ.

"Kalau dulu setiap kali datang menjalani pemeriksaan biasanya pulang letih kerana penat menunggu dalam ruang yang sesak dengan pesakit lain.

"Sekarang jauh lebih selesa dengan pelbagai kemudahan kesihatan disediakan," katanya.

Ruangan menunggu di bahagian farmasi Klinik Kesihatan Mantin.
Ruangan menunggu di bahagian farmasi Klinik Kesihatan Mantin.

Yussafira berkata, inisiatif kerajaan menaik taraf klinik itu satu rahmat bukan sahaja kepada orang ramai yang datang mendapatkan khidmat kesihatan di situ, malah kepada semua kakitangan bertugas.

"Ruang klinik yang teratur dengan bilik-bilik pemeriksaan dan rawatan tersusun sempurna memudahkan para petugas menjalankan tugas mereka kepada pesakit," katanya.

Difahamkan terdapat 40 kakitangan bertugas di klinik yang menerima kehadiran antara 150 hingga 300 pengunjung sehari atas pelbagai urusan kesihatan.

Beri keselesaan kepada penduduk

Ruangan farmasi yang selesa untuk urusan pengambilan ubat di Klinik Kesihatan Mantin.
Ruangan farmasi yang selesa untuk urusan pengambilan ubat di Klinik Kesihatan Mantin.

Turut menerima manfaat daripada usaha kerajaan itu ialah penduduk sekitar Mantin yang menarik nafas lega apabila Klinik Kesihatan Mantin tersenarai sebagai salah satu fasiliti yang dinaik taraf di bawah projek pembaikan klinik dan fasiliti daif bagi tahun 2025.

Difahamkan, kerja naik taraf membabitkan bahagian farmasi dan kaunter perkhidmatan, sekali gus dijangka memberi keselesaan lebih baik kepada pesakit, khususnya warga emas dan golongan berisiko seperti ibu mengandung.

Ruangan farmasi yang selesa untuk urusan pengambilan ubat di Klinik Kesihatan Mantin.
Ruangan farmasi yang selesa untuk urusan pengambilan ubat di Klinik Kesihatan Mantin.

Seorang penduduk, Ahmad Ali Imran Mohammed, 28 berkata, penambahbaikan itu sangat dinanti-nantikan oleh penduduk kerana klinik itu merupakan satu-satunya klinik kesihatan kerajaan yang beroperasi di kawasan Mantin.

AHMAD
AHMAD

“Emak saya datang mengambil ubat dua bulan sekali. Sebelum ini, kadang-kadang terpaksa menunggu giliran dalam tempoh masa yang lama.

“Sekarang, selepas fasiliti dinaik taraf, suasana lebih teratur dan selesa, bukan sahaja untuk pesakit tetapi juga kakitangan yang bertugas,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, walaupun terdapat banyak klinik swasta, klinik kesihatan kerajaan menjadi pilihan warga emas dan wanita mengandung membuat pemeriksaan kesihatan.

Klinik baharu lebih luas, selesa

Sementara itu, di Kuala Terengganu, penduduk menyambut baik kemudahan baharu di Klinik Desa Chendering yang kini lebih luas, selesa dan bersih selepas kerja-kerja menaik taraf fasiliti kesihatan itu siap dijalankan.

Suri rumah, Siti Afiqah Ayuni Mohd Azmi, 23, yang sedang hamil tujuh bulan berkata, beliau telah beberapa kali mendapatkan pemeriksaan di klinik itu selepas ia dinaik taraf daripada klinik lama yang usang dengan kemudahan serba kekurangan.

SITI AFIQAH AYUNI
SITI AFIQAH AYUNI

"Biasanya saya datang ke klinik sekitar jam 9 pagi untuk membuat pemeriksaan kandungan dan semuanya selesai kira-kira jam 11 pagi. Proses lebih teratur dan kemudahan juga sangat memuaskan.

"Sebelum ini anak sulung saya yang berusia tiga tahun pernah diperiksa di Klinik Ajil, Hulu Terengganu.

"Anak kedua yang masih dalam kandungan ini pula saya mula bawa ke sini untuk pemeriksaan sekitar bulan Mac atau April lalu selepas kami berpindah rumah disini," katanya ketika ditemui Sinar Harian di Klinik Desa Chendering, di sini, pada Selasa.

Klinik Desa Chendering di Kuala Terengganu yang kini telah berwajah baharu memberi keselesaan kepada penduduk setempat.
Klinik Desa Chendering di Kuala Terengganu yang kini telah berwajah baharu memberi keselesaan kepada penduduk setempat.

Menurutnya, kemudahan kesihatan asas adalah hak rakyat dan wajar diperluaskan lagi agar memberi keselesaan kepada lebih ramai penduduk, khususnya di kawasan luar bandar.

"Dulu kita hanya tahu klinik lama berdinding kayu, tapi kini dengan adanya bangunan baharu, lebih ramai penduduk dapat menikmati rawatan di sini dengan suasana yang lebih selesa.

"Keadaan klinik baharu ini juga dilengkapi pendingin hawa sangat membantu ibu-ibu hamil dan juga mereka yang baru habis berpantang apabila membawa bayi mereka ke sini untuk pemeriksaan," kata ibu muda itu.

Peruntukan RM300 juta dalam Belanjawan 2025 membuktikan kesungguhan kerajaan menunaikan janji memperkukuh Malaysia MADANI di peringkat akar umbi.

Kaunter farmasi sementara beroperasi susulan kerja naik taraf bahagian itu sedang dilaksanakan di Klinik Kesihatan Mantin.
Kaunter farmasi sementara beroperasi susulan kerja naik taraf bahagian itu sedang dilaksanakan di Klinik Kesihatan Mantin.

Klinik desa memainkan peranan yang penting dalam kesihatan rakyat khususnya golongan B40 dan pedalaman.

Jika usaha naik taraf ini dilaksanakan secara berkesan, ia bukan sahaja memberikan kelegaan kepada penduduk desa tetapi juga mampu mengurangkan jurang kesihatan bandar desa yang wujud sekian lama.

INFOGRAFIK

- 460 klinik daif diluluskan untuk dinaik taraf

- RM300 juta peruntukan keseluruhan

- Status projek (setakat Jun 2025):

- Tiga prapelaksanaan

- 412 dalam pelaksanaan

- 45 siap sepenuhnya

 

 

 

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!