Malaysia terima Anugerah Kepimpinan Statistik OIC

Mohd Uzir menerima penghargaan atas kepimpinan dan sumbangan dalam statistik OIC.
Mohd Uzir menerima penghargaan atas kepimpinan dan sumbangan dalam statistik OIC.
A
A
A

PUTRAJAYA - Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin menerima pengiktirafan dan anugerah khas atas kepimpinan cemerlang serta sumbangan besar beliau dalam memperkukuh pembangunan dan kerjasama statistik negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) memaklumkan pengiktirafan itu disampaikan pada sesi Suruhanjaya Statistik Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC-StatCom) yang berlangsung di Ankara, Turkiye dari 1 hingga 3 Oktober.

Menurut kenyataan DOSM, Malaysia mempunyai rekod kepimpinan penting apabila Mohd Uzir mempengerusikan OIC-StatCom sesi ketujuh dan kelapan pada 2018-2019, selain dilantik Naib Pengerusi pada sesi ke-12 pada 2023.

"Rekod itu mencerminkan keyakinan komuniti antarabangsa terhadap kepimpinan statistik Malaysia,” menurut kenyataan itu.

DOSM memaklumkan pencapaian cemerlang dengan meraih kedudukan teratas dunia dalam Open Data Inventory (ODIN) 2024/25 oleh Open Data Watch (ODW), telah mengukuhkan Malaysia sebagai penanda aras bagi negara anggota OIC.

Menurut kenyataan itu, Malaysia dan Pusat Penyelidikan dan Latihan Statistik, Ekonomi dan Sosial untuk Negara-negara Islam (SESRIC) turut memperbaharui memorandum persefahaman (MoU) yang kali pertama dimeterai pada 2020 di New York semasa sesi Suruhanjaya Statistik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke-51.

Pembaharuan itu menegaskan semula perkongsian kukuh dalam pembangunan kapasiti melalui Program StatCaB, dengan Malaysia bukan sahaja menyumbang secara meluas malah turut mendapat manfaat daripada pertukaran serantau.

Sementara itu, Mohd Uzir berkata, perhimpunan berkenaan membuktikan kekuatan visi bersama negara anggota OIC serta kepentingan kerjasama, perpaduan dan pembinaan kapasiti bagi memenuhi permintaan global terhadap data boleh dipercayai, bertepatan masa dan setanding (dengan organisasi antarabangsa).

Beliau berkata, pembaharuan MoU itu mencerminkan komitmen berterusan untuk memperkukuh kerjasama dan memastikan tiada negara anggota ketinggalan dalam era transformasi pesat. - Bernama

Artikel Berkaitan:

 

 

 

Ringkasan AI

  • Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin menerima penghargaan atas kepimpinan dan sumbangan dalam statistik OIC
  • Penghargaan diberikan pada sesi Suruhanjaya Statistik OIC di Ankara, Turkiye
  • Mohd Uzir memimpin dan menjadi Naib Pengerusi dalam sesi OIC-StatCom
  • Malaysia meraih kedudukan teratas dalam Open Data Inventory (ODIN) 2024/25
  • Pembaharuan MoU dengan SESRIC mengukuhkan kerjasama dan pembangunan kapasiti negara anggota OIC

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!