Kalau RON95 ikut harga pasaran, rakyat kena tambah RM2 RM3 sehari - Anwar

Anwar ketika berucap pada NCLAP30 di pekarangan Kompleks Sukan Hang Jebat hari ini
Anwar ketika berucap pada NCLAP30 di pekarangan Kompleks Sukan Hang Jebat hari ini
A
A
A

MELAKA – Rakyat mungkin terpaksa menanggung tambahan perbelanjaan antara RM2 hingga RM3 sehari untuk petrol sekiranya harga RON95 ditetapkan mengikut harga pasaran antarabangsa.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan memilih untuk terus menanggung kos subsidi bahan api yang meningkat bagi mengelakkan rakyat terbeban dengan kenaikan kos sara hidup.

Menurut beliau, harga minyak mentah dunia ketika ini meningkat hampir dua kali ganda berbanding paras sekitar AS$70 setong ketika Belanjawan tahun lalu dibentangkan.

Bagaimanapun, katanya, harga RON95 di Malaysia kekal pada RM1.99 seliter bagi melindungi pengguna daripada kesan lonjakan harga minyak global.

“Kalau kita naikkan harga minyak ikut pasaran, tiap-tiap hari kena tambah RM2, RM3, malah mungkin minimum RM5 sehari.

“Bayangkan kalau penggunaan itu lebih, hantar anak ke sekolah, pergi kerja, itu tiap-tiap hari RM10,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Pelan Tindakan Sara Hidup Negara 2030 (NCLAP30) di pekarangan Kompleks Sukan Hang Jebat di sini pada Sabtu.

Anwar berkata, harga sebenar RON95 dianggarkan antara RM3.80 hingga RM4 seliter, namun kerajaan mengekalkan harga jualan pada RM1.99 seliter menerusi mekanisme subsidi.

Menurutnya, komitmen itu menyebabkan kerajaan perlu menanggung perbelanjaan subsidi bahan api yang dianggarkan mencecah antara RM42 bilion hingga RM45 bilion setahun sekiranya harga minyak kekal pada paras semasa.

Artikel Berkaitan:

“Lebih baik kerajaan terbeban daripada membebankan rakyat dan ibu bapa kita.

“Itu dasar Kerajaan Madani yang kita pegang. Ia tidak mudah, tetapi kita harus tangani dengan baik,” katanya.

Beliau turut menolak pandangan bahawa pemberian subsidi menyebabkan rakyat terlalu bergantung kepada kerajaan sehingga mengurangkan motivasi untuk bekerja.

Katanya, pendapat sedemikian tidak mengambil kira realiti kehidupan golongan berpendapatan rendah yang berdepan tekanan kos sara hidup, terutama penduduk luar bandar dan pekerja bawahan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!