Jangan pertikai penglibatan ATM bantu PDRM!

Seorang anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) lengkap memakai topeng muka menunjukkan plakad peringatan untuk kekal di rumah ketika memulakan tugasan membantu pihak polis dalam sekatan jalan raya susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sekitar ibu kota hari ini.
Anggota tentera mula membantu polis melaksanakan PKP mulai 12 tengah hari semalam. - Foto Bernama
Seorang anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) lengkap memakai topeng muka menunjukkan plakad peringatan untuk kekal di rumah ketika memulakan tugasan membantu pihak polis dalam sekatan jalan raya susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sekitar ibu kota hari ini. Anggota tentera mula membantu polis melaksanakan PKP mulai 12 tengah hari semalam. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Sejumlah tiga juta rakyat yang masih ingkar Perintah Kawalan Pergerakan tidak boleh dipandang enteng.

Justeru, masyarakat tidak wajar mempertikaikan penglibatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) menguatkuasakan perintah berkenaan.

Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, walaupun Perintah Kawalan Pergerakan mencapai kadar pematuhan 90 peratus, jumlah 10 peratus iaitu melibatkan kira-kira 3 juta orang yang masih ingkar merupakan satu jumlah yang besar.

"Kegagalan juga bukanlah satu pilihan di dalam ATM dan justeru itu, apabila tugasan diberi untuk membantu PDRM, ATM secara langsung akan membantu memupuk sifat berdisiplin dalam kalangan rakyat Malaysia untuk mematuhi sebarang perintah dan arahan yang sah yang telah dikeluarkan oleh pihak berkuasa.

ARTIKEL BERKAITAN: 3 juta rakyat Malaysia ingkar Perintah Kawalan Pergerakan

Tentera bantu polis Ahad ini, bukan perintah darurat

"Melalui pelaksanaan hari pertama, saya melihat kolaboratif ATM/PDRM tidak perlu dipertikaikan terutama sejauh mana peranan yang dibawa oleh ATM. Ini kerana kita perlu bertindak segera dalam apa jua cara dalam menangani wabak ini," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah beliau, sehubungan itu juga, ATM bersetuju untuk memberi tumpuan lebih kepada kawasan berisiko tinggi bagi penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan.

Artikel Berkaitan:

"Kawasan berisiko tinggi seperti lokasi pasar dan pasar raya di mana didapati sehingga kini pengguna didapati masih bersesak dan tidak mengamalkan penjarakan sosial (social distancing)," katanya.

Beliau turut mengingatkan orang ramai agar tidak mudah terpengaruh dengan sebarang berita tular terutama melibatkan informasi/gambar/video/rakaman suara yang menunjukkan atur gerak ATM pada skala besar mahupun perlakuan tidak munasabah yang bakal diambil oleh anggota tentera.

"Ini kerana ia boleh mencetuskan kebimbangan serta panik dan secara tidak langsung menunjukkan kaedah yang tidak benar dalam penguatkuasaan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) ini," katanya.

Secara keseluruhan, seramai 7,500 anggota ATM ditugaskan untuk membantu PDRM sejak semalam.

Anggota-anggota ATM daripada ketiga-tiga perkhidmatan ditugaskan di 405 lokasi sekatan jalan raya dan 272 lokasi adalah rondaan MPV (Mobile Patrol Vehicle) di seluruh negara setiap hari.