Polis tidak bertolak ansur pelanggaran undang-undang ketika himpunan – Ketua Polis KL

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar undang-undang ketika menyertai himpunan di ibu negara.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, walaupun pihaknya menghormati hak kebebasan bersuara dan berhimpun, sebarang ketidakpatuhan kepada arahan tetap akan dikenakan tindakan tegas.
"Perlu diingat, himpunan bukan di kawasan persendirian tetapi ruang awam yang menjadi tumpuan orang ramai dan aliran trafik tinggi, keselamatan serta kesejahteraan orang awam mesti dijaga.
"Semalam ada yang ingkar arahan. Saya tegaskan, saya tidak akan bertolak ansur terhadap mana-mana individu yang melanggar peraturan, polis akan ambil tindakan undang-undang," katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini pada Jumaat.
Katanya, setiap arahan pegawai polis di lapangan mewakili pihaknya dan wajib dipatuhi oleh peserta himpunan.
"Kita sangat neutral, kita bantu penganjur supaya himpunan berjalan lancar, namun jika ada halangan atau tindakan yang boleh menimbulkan masalah, ia mesti dielakkan.
"Tujuan kita jelas iaitu menjaga keselamatan awam, kesejahteraan orang ramai termasuk pelancong, serta mengelakkan perkara tidak diingini," katanya.
Fadil turut mengingatkan mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau individu yang mahu menganjurkan program agar sentiasa mematuhi undang-undang dan prosedur yang ditetapkan.
"Kita semua perlu patuh supaya perjalanan himpunan berjalan dengan baik dan tidak mendatangkan perkara negatif dan kita tidak mahu ada persepsi seolah-olah pihak berkuasa menentang penganjur.
"Saya ingin ingatkan, sesiapa sahaja, sama ada daripada mana-mana NGO atau individu, tetap perlu ikut peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa," katanya.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan dua lelaki ditahan selepas berlaku kekecohan ketika perhimpunan aman pro-Palestin di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat di Jalan Tun Razak di sini pada Khamis.
Perhimpunan yang bermula jam 12 tengah hari itu dihadiri kira-kira 50 peserta sebelum keadaan bertukar tegang apabila beberapa individu bertindak menutup aliran trafik di hadapan kedutaan itu.
Dalam insiden itu, seorang anggota polis mengalami kecederaan di mulut selepas disiku oleh peserta perhimpunan ketika menjalankan kawalan keselamatan.
Susulan kejadian, polis menahan dua lelaki berusia 23 dan 32 tahun kerana bertindak menghalang penjawat awam menjalankan tugas.
Ringkasan AI
- Polis Diraja Malaysia tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar undang-undang ketika menyertai himpunan
- Keselamatan dan kesejahteraan orang awam mesti dijaga ketika berhimpun di ruang awam
- Setiap arahan pegawai polis di lapangan mewakili pihaknya dan wajib dipatuhi
- Pertubuhan bukan kerajaan atau individu yang menganjurkan program harus mematuhi undang-undang dan prosedur yang ditetapkan
- Dua lelaki ditahan selepas berlaku kekecohan dan menghalang penjawat awam menjalankan tugas dalam perhimpunan aman pro-Palestin
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

