MTL: Pahang sedia lebih 2,500 lokasi pendaratan helikopter

TEMERLOH - Sebanyak 2,502 lokasi pendaratan helikopter diwujudkan di negeri ini bagi menghadapi situasi banjir terutama di kawasan yang sukar dihubungi dalam persediaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL).
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, selain lokasi pendaratan, sebanyak 155 pangkalan hadapan dan 741 pusat pemindahan sementara (PPS) juga telah dikenal pasti di seluruh Pahang.
Menurutnya, PPS yang disediakan mampu menampung lebih 150,000 mangsa pada satu-satu masa.
"Polis Pahang berada pada tahap siap siaga penuh bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL), jika perlu ada arahan pemindahan kita akan gerakkan pada bila-bila masa.
“Sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Banjir Kontinjen, saya telah mengarahkan semua Ketua Polis Daerah untuk menggerakkan elemen dalaman, latihan dan penyediaan logistik dengan semua agensi terlibat," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Temerloh di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh di sini pada Jumaat.
Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob dan Pemangku Asisten Komisioner, Mohd Nasyim Bahron yang dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Temerloh baharu, menggantikan Asisten Komisioner Mazlan Hassan bertukar ke Pasir Mas, Kelantan bermula Ahad.
“Semua 11 daerah di Pahang berada dalam keadaan siap siaga. Walaupun kita sudah biasa menghadapi banjir setiap tahun, namun persediaan rapi tetap perlu dilakukan kerana kita tidak dapat menjangka kawasan mana yang akan terjejas teruk,” jelasnya lebih 5,000 anggota polis siap siapa menghadapi MTL.
Tambah beliau, polis juga akan memberi tumpuan terhadap aspek keselamatan penduduk termasuk rondaan berkala di kawasan perumahan yang ditinggalkan mangsa.
“Kita ada pasukan rondaan khas untuk memantau kawasan yang terjejas banjir bagi mengelakkan kejadian pecah rumah.
"Saya menasihatkan orang ramai supaya menyimpan dokumen penting di tempat selamat dan mudah dibawa sekiranya berlaku pemindahan," jelasnya.
Beliau juga mengingatkan pengguna kenderaan supaya sentiasa mematuhi arahan yang diberikan untuk mengelakkan sebarang kemalangan atau kehilangan nyawa.
"Jangan sesekali mengambil risiko dengan cuba mengharungi banjir menggunakan kenderaan atau bermain air banjir kerana ia boleh membawa maut,” ujarnya lagi.
Dalam masa sama, Yahaya turut mengingatkan orang ramai agar sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa dan peka dengan maklumat semasa yang disalurkan melalui media serta agensi terlibat.
Terdahulu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Datuk Mohd Razam Taja Rahim melaporkan sebanyak 763 lokasi hotspot berisiko banjir dikenal pasti berdasarkan data Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pahang.
Daerah Temerloh mencatat jumlah kawasan tertinggi iaitu 185, diikuti Jerantut (106); Pekan (89); Kuala Lipis (88); Bera (70); Kuantan (64), Raub (56); Maran (51); Bentong (23) Rompin (20) dan 11 kawasan di Cameron Highlands.
Ringkasan AI
- TEMERLOH - Sebanyak 2,502 lokasi pendaratan helikopter dan 155 pangkalan hadapan diwujudkan di Pahang untuk menghadapi banjir
- 741 pusat pemindahan sementara telah dikenal pasti mampu menampung lebih 150,000 mangsa banjir
- Ketua Polis Pahang mengumumkan bahawa semua 11 daerah di Pahang berada dalam keadaan siap siaga menghadapi Monsun Timur Laut
- Lebih 5,000 anggota polis siap sedia dan pihak berkuasa memberi tumpuan kepada aspek keselamatan penduduk termasuk rondaan berkala
- Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pahang melaporkan 763 lokasi hotspot berisiko banjir dikenal pasti di Pahang
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

