8 individu culik, kurung tiga lelaki ditahan

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat.
A
A
A

KOTA BHARU – Polis Kelantan menahan lapan individu termasuk seorang wanita dipercayai terlibat dalam kes penculikan tiga lelaki di sebuah rumah di Cherang Ruku di sini pada 26 September lalu.

Kesemua suspek berusia 20 hingga 46 tahun itu dicekup pada Khamis dalam satu operasi khas bermula jam 2 hingga 11.30 pagi di enam lokasi berasingan sekitar Kota Bharu, Bachok, Pasir Puteh dan Tumpat oleh pasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, sebelum itu suspek bertindak mengurung kesemua lelaki berusia awal 20-an terbabit di sebuah rumah dan menuntut wang tebusan berjumlah RM150,000 daripada majikan mangsa bagi membebaskan mereka.

"Pengadu telah menyerahkan wang berjumlah RM29,000 kepada kumpulan itu.

"Hasil daripada tangkapan itu kami turut merampas 10 telefon bimbit milik suspek, lima telefon bimbit milik mangsa, sebuah kereta Proton Perdana, sebuah Audi Q7 dan sebuah pacuan empat roda Nissan Terrano," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Menurut beliau, sepucuk pistol jenis revolver, pistol tiruan bertulis Austria (1), seutas rantai besi sepanjang 4.7 meter berserta lima mangga dan anak kunci, pelitup muka, kabel serta pakaian yang dipakai suspek semasa kejadian turut dirampas.

Ujarnya, saringan air kencing terhadap kesemua suspek didapati negatif dadah.

Mohd Yusoff memberitahu, kesemua suspek direman selama empat hari bermula Khamis hingga Ahad bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan kerana pemerasan dengan ugutan, Seksyen 342 Kanun Keseksaan kerana sekatan salah, Seksyen 365 Kanun Keseksaan kerana melarikan orang dengan niat salah serta Seksyen 8 Akta Senjatapi (Penalti Lebih Berat) 1971.

Artikel Berkaitan:

“Jika sabit kesalahan, mereka berdepan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan sebatan tidak kurang daripada enam kali,” katanya.

Beliau menegaskan siasatan lanjut masih diteruskan bagi melengkapkan kertas siasatan kes berkenaan.

Ringkasan AI

  • Polis Kelantan menahan tujuh individu terlibat dalam kes penculikan tiga lelaki di Cherang Ruku
  • Suspek mengurung mangsa dan menuntut wang tebusan RM150,000 daripada majikan mangsa
  • Pengadu menyerahkan RM29,000 kepada kumpulan penculik
  • Polis merampas barangan termasuk 10 telefon bimbit, dua kereta, sebuah pacuan empat roda, senjata dan pakaian suspek
  • Kes disiasat mengikut beberapa Seksyen Kanun Keseksaan dan Akta Senjata Api, suspek berdepan hukuman penjara hingga 14 tahun dan sebatan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!