Objek misteri berbulu jatuh dari langit

BUENOS AIRES - Sebuah objek berbulu misteri mengundang tanda tanya kepada banyak pihak selepas ia dipercayai jatuh dari langit.
Silinder gentian karbon gergasi dilengkapi nombor siri berukuran sepanjang 1.7 meter (m) dan berdiameter 1.2m itu ditemui di sebuah ladang di Puerto Tirol di utara Argentina pada minggu lalu.
Ia dilitupi gentian hitam yang pelik kelihatan seperti rambut hingga menyebabkan ada warganet yang menggelar ia sebagai rambut palsu gergasi setelah gambar itu menjadi tular di media sosial.
Pemilik ladang itu, Ramon Ricardo Gonzalez, 47, segera bertindak menghubungi pihak berkuasa selepas melihat objek aneh tersebut.
Susulan itu, pasukan keselamatan mendirikan perimeter keselamatan di sekeliling silinder berbulu itu bagi memastikan ia tidak meletup sementara siasatan dijalankan.
"Mereka masih tidak dapat merungkai misteri objek itu setelah mengesahkan ia tidak mengandungi bahan berbahaya," lapor media.
Pihak berkuasa bagaimanapun tidak menolak ia mungkin sampah angkasa lepas seperti kapsul tangki bahan api roket.
Pada Januari lalu, sebuah cincin logam gergasi dilaporkan terhempas di perkampungan Kenya dan menghasilkan dentuman yang kuat hingga menggemparkan penduduk setempat. - Agensi
Ringkasan AI
- Objek berbulu misteri dipercayai jatuh dari langit di Puerto Tirol, Argentina
- Silinder gentian karbon dengan nombor siri berukuran 1.7 meter panjang dan 1.2m diameter
- Objek itu dilitupi gentian hitam, menyebabkan ada yang menggelarnya sebagai rambut palsu gergasi
- Pemilik ladang Ramon Ricardo Gonzalez segera menghubungi pihak berkuasa setelah menemui objek aneh
- Pasukan keselamatan mendirikan perimeter keselamatan, siasatan awal mengesahkan objek tidak mengandungi bahan berbahaya
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

