GSF: Terengganu akan terus beri tekanan, pastikan peserta misi selamat

MARANG – Terengganu akan terus memberi tekanan dan melaksanakan pelbagai usaha bagi memastikan keselamatan aktivis kemanusiaan Malaysia yang menyertai Misi Global Sumud Flotilla (GSF) selepas sebahagian mereka dilaporkan ditahan rejim Zionis sejak Khamis.
Exco Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, kerajaan negeri turut mengarahkan solat hajat serentak di 500 masjid di seluruh Terengganu selepas solat Jumaat sebagai tanda solidariti bersama perjuangan rakyat Palestin.

"Kita akan lakukan apa sahaja dalam bidang kuasa kita. Sekarang ini kita mengadakan ceramah, solat hajat, perhimpunan, doa dan demonstrasi sebagai bentuk tekanan.
"Bagi negeri Terengganu, JHEAT (Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu) sudah mengeluarkan arahan rasmi untuk solat hajat serentak manakala beberapa negeri lain seperti Kelantan, Kedah dan Perlis turut mengambil langkah sama.
"Saya juga difahamkan teks khutbah Jumaat di negeri-negeri SG4 turut berkisar mengenai GSF, " katanya selepas menghadiri Himpunan dan Flashmob Solidariti Sumud Flotilla yang dihadiri lebih 5,000 peserta di hadapan Masjid Rusila di sini pada Khamis.
Hadir sama Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Mengulas mengenai GSF, Dr Muhammad Khalil berkata, operasi berkenaan disertai aktivis dari seluruh dunia termasuk rakyat Malaysia dengan sekurang-kurangnya 10 daripada mereka berasal dari Terengganu.
Katanya, himpunan itu diadakan sebagai kesinambungan jihad dan solidariti rakyat Malaysia bersama perjuangan rakyat Palestin, selain beberapa program susulan akan dianjurkan termasuk memperingati genap dua tahun Operasi Taufan Al-Aqsa.
Dalam masa sama, beliau menegaskan rakyat berhak menolak kehadiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump ke Malaysia pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 bulan ini kerana dianggap sebagai sekutu rapat rejim Zionis.
"Negara kita demokrasi. Rakyat berhak menyatakan isi hati bahawa ini bukan masa untuk menerima Trump," tegas beliau.
Sebelum ini, kerajaan memaklumkan jemputan kepada Trump dibuat berdasarkan pertimbangan politik antarabangsa dengan tujuan memberi ruang kepada Malaysia selaku Pengerusi ASEAN untuk menyatakan pendirian secara terus kepada Presiden AS itu berhubung isu Palestin.
Ringkasan AI
- Terengganu akan terus berusaha memastikan keselamatan aktivis kemanusiaan Malaysia yang ditahan oleh rejim Zionis
- Kerajaan negeri mengarahkan solat hajat serentak di 500 masjid sebagai solidariti bersama perjuangan rakyat Palestin
- Ceramah, solat hajat, perhimpunan, doa dan demonstrasi digunakan sebagai bentuk tekanan
- Aktivis dari seluruh dunia termasuk Malaysia menyertai Misi Global Sumud Flotilla, dengan sekurang-kurangnya 10 orang dari Terengganu
- Muhammad Khalil menegaskan rakyat berhak menolak kehadiran Donald Trump ke Malaysia, dianggap sebagai sekutu rapat rejim Zionis
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
