Trump tandatangan perintah eksekutif jamin keselamatan Qatar

DOHA - Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Rabu menandatangani satu perintah eksekutif yang berikrar untuk menjamin keselamatan Qatar, dengan menyatakan bahawa sebarang serangan bersenjata terhadap negara Teluk itu akan dianggap sebagai ancaman kepada keamanan dan keselamatan AS, lapor Xinhua.
Perintah eksekutif itu yang dikongsikan oleh Kedutaan AS di Qatar, menekankan kerjasama yang telah lama terjalin antara kedua-dua negara dengan menyatakan bahawa Qatar telah menempatkan tentera AS, membolehkan operasi keselamatan penting dan bertindak sebagai sekutu yang teguh dalam usaha mencapai keamanan, kestabilan dan kemakmuran, termasuk menjadi pengantara dalam menyelesaikan konflik serantau dan global.
Trump berkata, dalam perintah itu bahawa adalah menjadi dasar Amerika Syarikat untuk memastikan keselamatan dan keutuhan wilayah Qatar daripada pencerobohan luar dan Washington akan mengambil "semua langkah yang sah dan wajar - termasuk langkah diplomatik, ekonomi dan jika perlu, ketenteraan - untuk mempertahankan kepentingan AS dan Qatar serta memulihkan keamanan dan kestabilan."
Perintah itu dikeluarkan dua hari selepas Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, semasa lawatannya ke Rumah Putih memohon maaf kepada Qatar berhubung serangan udara di Doha baru-baru ini.
Menurut kenyataan Kementerian Luar Qatar, Netanyahu menyatakan kekesalan atas insiden itu dan berjanji perkara sama tidak akan berulang.
Pada 9 September, Israel melancarkan serangan udara ke atas Doha, dengan mendakwa serangan itu menyasarkan pemimpin kanan Hamas yang berpangkalan di bandar itu.
Hamas berkata, delegasinya berada di Doha pada masa itu untuk membincangkan cadangan gencatan senjata yang diusahakan oleh AS. Serangan itu membunuh lima rakyat Palestin dan seorang pegawai keselamatan Qatar, mencetuskan kecaman antarabangsa yang meluas. - Bernama-Xinhua
Ringkasan AI
- Donald Trump menandatangani perintah eksekutif yang menjamin keselamatan Qatar, menganggap serangan bersenjata sebagai ancaman kepada AS
- Perintah tersebut menekankan kerjasama antara AS dan Qatar, menyatakan Qatar sebagai sekutu teguh dalam mencapai keamanan dan kemakmuran
- AS berkomitmen menggunakan segala cara termasuk diplomasi, ekonomi, dan ketenteraan untuk mempertahankan kepentingan AS dan Qatar
- Perintah dikeluarkan dua hari selepas Netanyahu memohon maaf kepada Qatar atas serangan udara di Doha
- Israel melancarkan serangan udara di Doha, menyasarkan pemimpin kanan Hamas, membunuh enam orang dan mencetuskan kecaman antarabangsa
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
