Palestin kecam serangan Israel terhadap misi kemanusiaan GSF

Palestin menghargai keberanian peserta GSF dan tekad mereka untuk memecahkan sekatan Israel serta menamatkan genosid. Foto AFP
Palestin menghargai keberanian peserta GSF dan tekad mereka untuk memecahkan sekatan Israel serta menamatkan genosid. Foto AFP
A
A
A

SHAH ALAM - Palestin mengecam serangan Israel terhadap misi kemanusiaan Global Sumud Flotila (GSF) yang disifatkan melanggar prinsip kemanusiaan, hak asasi peserta dan undang-undang antarabangsa termasuk Konvensyen Undang-Undang Laut.

Kerajaan Palestin dalam satu kenyataan pada Khamis menyuarakan kebimbangan serius terhadap keselamatan lebih 470 peserta flotila itu, sekali gus menegaskan Israel perlu bertanggungjawab terhadap keselamatan mereka yang menghantar bantuan kepada penduduk Gaza yang sedang dikepung, kebuluran dan dibom.

Kenyataan itu menegaskan, GSF ialah inisiatif aman yang selaras dengan undang-undang antarabangsa bertujuan memecahkan sekatan haram Israel ke atas Gaza, selain menamatkan dasar kebuluran dan genosid rejim Zionis.

Palestin turut mengingatkan, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) sebelum ini telah mengisytiharkan pendudukan Israel di Palestin adalah haram, sekali gus menolak sebarang dakwaan bahawa rejim Zionis mempunyai kuasa atau kedaulatan ke atas perairan wilayah Palestin mahupun perairan antarabangsa.

Justeru, GSF berhak untuk berlayar melalui laluan bebas di perairan antarabangsa tanpa sebarang gangguan, sebagaimana dijamin oleh undang-undang antarabangsa.

Tambah kenyataan itu lagi, kapal misi itu berhak dibenarkan berlayar memasuki perairan Palestin untuk menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Gaza.

Dalam pada itu, Palestin menghargai keberanian peserta GSF dan tekad mereka untuk memecahkan sekatan Israel serta menamatkan genosid.

"Kami menyeru komuniti antarabangsa agar segera memberikan perlindungan kepada mereka," menurut kenyataan itu.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!