Fair Lady kapal terkini dipintas Israel

SHAH ALAM - Kapal misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF), Fair Lady yang dalam pelayaran setakat jam 2 petang waktu Malaysia, dilaporkan dipintas Pasukan Pertahanan Israel (IDF) ketika berada di perairan antarabangsa berhampiran Gaza.
Kapal itu yang membawa dua rakyat Malaysia iaitu Zainal Rashid Ahmad (ZRA) dan Ustaz Muhammad Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Muhammad Kechik ditahan tentera Israel sekitar jam 9.15 pagi waktu Gaza.
Perkara tersebut disahkan Zainal menerusi siaran langsung kamera litar tertutup (CCTV) GSF sebelum melemparkan telefon bimbitnya ke laut.
"Jadi kami sudah dikepung oleh empat buah bot, satu kapal dan tiga bot. Ini mungkin menjadi momen terakhir tuan-tuan dan puan-puan puan tengok.

"Saya jangka kapal yang ada dah hampir dekat, arahan daripada perairan supaya minta lempar telefon. Sebelah sana (kiri) ada dua kapal dan di depan kami ada satu kapal. Mereka sedang menghasilkan ombak besar," katanya.
Menurut data sistem pengesan Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), pelayaran terakhir Fair Lady pada jam 03:02 UTC (11.02 pagi waktu Malaysia), kapal itu dikesan masih belayar di koordinat 31°45.275′ N, 33°2.852′ E.
Sebelum ini, seramai 201 daripada 497 peserta GSF termasuk 12 rakyat Malaysia merupakan antara delegasi dipercayai ditahan di atas kapal flotila oleh tentera Israel setakat ini.
Ketua Pengarah SNCC, Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, setakat jam 10.44 pagi waktu Malaysia, sejumlah 14 kapal flotila telah dipintas rejim zionis termasuk kapal Sirius, Alma, Huga, Grande Blu dan Hio, yang membawa delegasi Malaysia terdiri dari tujuh lelaki serta lima perempuan.
Ringkasan AI
- Kapal misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla, Fair Lady dipintas Pasukan Pertahanan Israel berhampiran Gaza
- Dua rakyat Malaysia ditahan tentera Israel
- Zainal Rashid Ahmad mengesahkan kejadian tersebut melalui CCTV sebelum melemparkan telefon ke laut
- Data terakhir pelayaran Fair Lady dikesan pada koordinat 31°45.275' N, 33°2.852' E
- Seramai 201 dari 497 peserta termasuk 12 rakyat Malaysia dipercayai ditahan oleh tentera Israel
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

