Semua masjid, surau di Pulau Pinang diarah laksana solat hajat berjemaah doakan GSF

Semua masjid dan surau di Pulau Pinang diarahkan melaksanakan solat hajat secara berjemaah bagi mendoakan kelancaran misi kemanusiaan GSF ke Gaza, Palestin pada Khamis dan Jumaat ini. Gambar kecil: Mohamad
Semua masjid dan surau di Pulau Pinang diarahkan melaksanakan solat hajat secara berjemaah bagi mendoakan kelancaran misi kemanusiaan GSF ke Gaza, Palestin pada Khamis dan Jumaat ini. Gambar kecil: Mohamad
A
A
A

GEORGE TOWN- Semua masjid dan surau di Pulau Pinang diarahkan melaksanakan solat hajat secara berjemaah bagi mendoakan kelancaran misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza, Palestin pada Khamis dan Jumaat ini.

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid berkata, solat hajat itu dilaksanakan selepas solat Maghrib pada Khamis dan selepas solat Jumaat pada 3 Oktober, selain bacaan Qunut Nazilah turut digalakkan dalam solat berjemaah lima waktu.

Beliau berkata, arahan itu sebagai tanda keprihatinan dan solidariti terhadap penderitaan rakyat Palestin yang berdepan penindasan rejim Zionis.

“Misi Global Sumud Flotilla ini adalah usaha kemanusiaan global yang berani dan suci melibatkan penyertaan rakyat pelbagai negara termasuk wakil Malaysia yang membawa bantuan perubatan, makanan dan keperluan asas.

“Saya memohon seluruh rakyat Pulau Pinang untuk sama-sama berdoa agar misi ini berjalan lancar dan tiba dengan selamat ke destinasinya,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Mohamad yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang turut mengajak umat Islam untuk terus menyumbang, menyokong dan berdoa tanpa henti agar bumi Palestin dibebaskan daripada penjajahan dan penindasan.

“Doa orang yang dizalimi tiada hijabnya di sisi ALLAH SWT.

"Semoga segala usaha kita diberkati dan diterima olehNya,” katanya.

Seramai 201 daripada 497 peserta GSF termasuk 12 rakyat Malaysia merupakan antara delegasi dipercayai ditahan di atas kapal flotilla oleh tentera Israel setakat ini.

Artikel Berkaitan:

Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, setakat jam 10.44 pagi waktu Malaysia, sejumlah 14 kapal flotila telah dipintas rejim zionis termasuk kapal Sirius, Alma, Huga, Grande Blu dan Hio, yang membawa delegasi Malaysia terdiri dari tujuh lelaki serta lima perempuan.

Sebelum ini, SNCC pada Khamis jam 2.03 pagi waktu Malaysia, mengesahkan kapal GSF telah dipintas oleh tentera Israel di perairan antarabangsa ketika konvoi itu menuju ke Gaza bagi misi kemanusiaan.

Ringkasan AI

  • Semua masjid dan surau di Pulau Pinang diarahkan melaksanakan solat hajat untuk mendoakan misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla ke Gaza
  • Solat hajat itu dilaksanakan selepas solat Maghrib dan Jumaat, serta bacaan Qunut Nazilah digalakkan
  • Arahan itu sebagai tanda solidariti terhadap penderitaan rakyat Palestin
  • Misi Global Sumud Flotilla membawa bantuan perubatan, makanan dan keperluan asas
  • Seramai 201 daripada 497 peserta GSF termasuk 12 rakyat Malaysia dipercayai ditahan oleh tentera Israel

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!