Bot penumpang awam layak nikmati subsidi RON95

KUALA LUMPUR - Bot-bot penumpang awam menggunakan petrol RON95 kini layak mendapatkan subsidi sama ada di bawah inisiatif Budi Madani RON95 (BUDI95) atau Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) tertakluk kepada mekanisme akan dimaklumkan kelak.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, keputusan berkaitan perkara terbabit dicapai melalui perbincangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bersama Kementerian Kewangan (MoF).
Beliau berkata, kerajaan pada dasarnya telah bersetuju pengusaha bot-bot penumpang awam akan mendapat manfaat subsidi petrol RON95.
"Secara dasarnya, perkara ini adalah tertakluk kepada bot-bot yang didaftarkan atas pemilik warganegara atau syarikat berdaftar.
"Kerajaan pada masa ini sedang bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan negeri berkaitan, termasuklah Lembaga Sungai-sungai Sarawak dan Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah mengenal pasti pemilik bot berdaftar," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian My Gaya Month 2025 (MGM2025) di Pavilion Bukit Jalil di sini pada Khamis.
Pada Ahad, media melaporkan kerajaan terbuka untuk meluaskan inisiatif BUDI95 yang baharu diperkenalkan bagi memberi manfaat kepada pengusaha bot penumpang kecil khususnya di Sabah dan Sarawak.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dilaporkan berkata, pada dasarnya kerajaan tidak melihat sebarang halangan untuk memperluaskan skim itu kepada mereka yang terbabit dalam operasi bot penumpang.
Mengulas lanjut Armizan memberitahu, sebagai langkah interim, pengusaha bot-bot penumpang awam akan dibenarkan membuat tuntutan bayaran balik tunai.
Beliau mengingatkan bahawa mereka diwajibkan untuk menyimpan dan mengemukakan resit pembelian rasmi.
"Simpan resit yang sah, kita akan umumkan dalam masa terdekat bagaimana pengusaha-pengusaha bot penumpang awam boleh membuat tuntutan supaya mereka boleh mendapat bayaran balik tunai.
"Mereka akan dibayar balik margin perbezaan di antara harga subsidi dan juga harga pasaran itu," menurutnya.
Dalam perkembangan sama, beliau memberitahu, KPDN telah mengaktifkan Jawatankuasa Rayuan SKDS dengan perluasan skop meliputi pelaksanaan SKPS.
Menurutnya, jawatankuasa terbabit diaktifkan untuk melihat isu-isu berbangkit seumpama ini sebagaimana dalam pelaksanaan penyasaran subsidi diesel dahulu.
Tambah Armizan, kerajaan amat prihatin dengan penduduk yang menggunakan bot sebagai mod pengangkutan utama khususnya di kawasan pulau dan sungai di Sabah dan Sarawak dan sebahagian kawasan di Semenanjung Malaysia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

