Kebakaran di Gerik padam selepas hampir tujuh hari operasi

Laporan Sinar Harian semalam.
Laporan Sinar Harian semalam.
A
A
A

IPOH - Selepas lebih 140 jam bertungkus lumus, akhirnya kebakaran di Gunung Kenderong dan sekitar kawasan hutan di Kampung Pong, Gerik, kira-kira 170km dari sini berjaya dipadamkan.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia negeri Perak berkata keseluruhan kebakaran yang bermula kira-kira jam 9.30 malam pada Isnin lalu membabitkan kawasan seluas 52.60 hektar, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

"Pagi tadi, pasukan Unit Udara Bomba menggunakan teknik pengeboman air bagi memadam dua tompokan asap di Gunung Kenderong seterusnya berjaya memadam kebakaran tersebut sehingga selesai.

"Operasi melibatkan 61 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Gerik, Pengkalan Hulu dan Lenggong, Jabatan Perhutanan serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia ini tamat pada kira-kira 6 petang tadi," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, bomba kini hanya melakukan pemantauan di lokasi kebakaran dan orang ramai diingatkan supaya tidak melakukan pembakaran terbuka.

Sepanjang operasi, pelbagai usaha dilakukan pihak bomba bagi mengelakkan kebakaran hutan itu merebak termasuk 'firebreak' iaitu memisahkan kawasan kebakaran dan pelbagai unit dikerahkan antaranya Unit Khas Pasukan Multi-Skill Team (MUST) yang digerakkan menggunakan teknik 'abseiling' dari pesawat AW189 ke puncak gunung itu semalam.

ARTIKEL BERKAITAN: Kebakaran hutan: Bomba berdepan ancaman harimau, beruang

Sejak hari pertama kebakaran, pasukan terlibat menghadapi pelbagai cabaran termasuk terpaksa mendaki sejauh lima kilometer ke lokasi kebakaran selepas menaiki kenderaan pacuan empat roda sejauh tiga kilometer ke kaki bukit kerana kawasan itu tidak dapat dimasuki jentera. - Bernama

Artikel Berkaitan: