GSF: Batalkan jemputan Trump atau Pemuda UMNO akan turun bantah

PUTRAJAYA - Pemuda UMNO memberi kata dua kepada kerajaan agar membatalkan jemputan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump sekiranya semua aktivis Global Sumud Flotilla (GSF) terutamanya rakyat Malaysia tidak dibebaskan Israel.
Menerusi hantaran di laman sosial, Ketua Pemuda, Datuk Dr Akmal Saleh menegaskan, sekiranya jemputan itu tidak dibatalkan, Pemuda UMNO seluruh negara akan membuat bantahan besar-besaran semasa lawatan Trump ke Kuala Lumpur hujung bulan ini.
"Biar kita berdepan dengan Trump secara terus! Sakiti mereka (aktivis), sama dengan sakiti kami semua rakyat Malaysia," tegas beliau pada Khamis.
Terdahulu sekurang-kurangnya 10 aktivis Malaysia ditahan rejim Israel secara tidak sah di perairan antarabangsa dalam perjalanan misi kemanusiaan ke Gaza sejak jam 9 malam waktu tempatan.
Julai lalu, Trump telah mengesahkan kehadirannya ke Malaysia bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 yang berlangsung di Kuala Lumpur pada 26 hingga 28 Oktober ini.
Kali terakhir AS menghadiri sidang kemuncak itu adalah di Kuala Lumpur pada November 2015 menerusi kehadiran Presidennya, Barrack Obama.
Ringkasan AI
- PUTRAJAYA - Pemuda UMNO menggesa kerajaan membatalkan jemputan kepada Donald Trump jika aktivis GSF termasuk rakyat Malaysia tidak dibebaskan Israel
- Ketua Pemuda, Datuk Dr Akmal Saleh, memberi amaran akan ada bantahan besar-besaran jika jemputan tidak dibatalkan
- Bantahan akan diadakan semasa Trump berkunjung ke Kuala Lumpur hujung bulan ini
- Pemuda UMNO menyatakan kesakitan terhadap aktivis ialah kesakitan bagi semua rakyat Malaysia
- Datuk Dr Akmal menggunakan media sosial untuk menyuarakan pendirian Pemuda UMNO
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

