Rakyat dunia bangkit, mengamuk - Nadir Al-Nuri

SHAH ALAM - Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM), Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman menyifatkan protes yang meletus susulan tindakan terhadap konvoi Global Sumud Flotilla (GSF) sebagai kebangkitan rakyat dunia.
“Rakyat dunia sedang bangkit dan mengamuk saat ini kerana peserta GSF disentuh. Eropah khususnya bakal meledak,” katanya dalam hantaran di Threads.
Pada awal pagi ini waktu Malaysia, Israel melakukan tindakan dengan memintas konvoi GSF dan menahan para peserta.
Ekoran daripada itu, protes tercetus di beberapa bandar Itali termasuk dii bandar selatan Naples, para penunjuk perasaan memasuki stesen kereta api utama dan menghentikan perkhidmatan tren, manakala polis mengepung stesen kereta api Termini di Rom selepas penunjuk perasaan berkumpul berhampiran pintu masuk.
Sementara itu, kesatuan sekerja Itali menggesa supaya diadakan mogok sebagai bantahan terhadap layanan ke atas GSF.
“Tindakan agresif terhadap kapal awam yang membawa warganegara Itali adalah perkara yang amat serius,” kata kesatuan CGIL, sambil menyeru mogok yang turut disertai oleh beberapa kesatuan kecil lain.
Pengumuman itu dibuat selepas mogok umum sebelumnya pada 22 September yang dianjurkan oleh kesatuan akar umbi Unione Sindacale di Base (USB) sebagai sokongan kepada Gaza dan GSF.
Di bandar barat laut Genoa, USB mengumumkan mereka berhasrat menyekat pelabuhan dan menyeru semua penunjuk perasaan untuk berkumpul pada jam 10 malam (2000 GMT) di salah satu pintu masuk utama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
