Kemampuan menyimpan M40 makin merosot

Simpanan M40 terus merosot menyebabkan kedudukan mereka lebih rapuh berbanding B40.
Simpanan M40 terus merosot menyebabkan kedudukan mereka lebih rapuh berbanding B40.
A
A
A

SHAH ALAM - Golongan berpendapatan sederhana (M40) kini semakin tertekan apabila kemampuan menyimpan terus merosot.

Ketua Pegawai Eksekutif RinggitPlus, Yuen Tuck Siew berkata, Tinjauan Literasi Kewangan Malaysia (RMFLS) 2025 mendapati hanya 23 peratus responden M40 mampu menyimpan antara RM1,001 hingga RM1,500 sebulan, menurun daripada 29 peratus pada 2024.

“Laporan ini menunjukkan penurunan mendadak yang membimbangkan. Dalam masa sama, bilangan mereka yang menyimpan kurang daripada RM500 sebulan meningkat kepada 39 peratus berbanding 31 peratus pada tahun lalu.

“Lebih mengejutkan, hanya 27 peratus responden M40 menyatakan mereka mampu bertahan lebih enam bulan tanpa pendapatan, berbanding 32 peratus pada 2024,” katanya pada taklimat media RMFLS 2025 di Kuala Lumpur pada Selasa.

Tambah beliau, keyakinan M40 juga menurun apabila hanya 54 peratus berpendapat, kedudukan kewangan mereka lebih baik berbanding tahun lalu, berkurang daripada 58 peratus pada 2024.

“Data itu membuktikan M40 kini berada dalam zon rapuh kerana tidak menerima sokongan bersasar sekuat B40 walaupun turut menanggung beban kos sara hidup.

“Kajian sama juga menunjukkan terdapat jurang positif dalam kalangan golongan B40, khususnya dari segi kesedaran kewangan dan perancangan masa depan,” katanya.

Dalam pada itu, Tuck Siew berkata, 55 peratus responden berpendapatan bawah RM2,000 kini sudah mula merancang persaraan, meningkat daripada 48 peratus pada tahun sebelumnya.

Beliau berkata, perubahan itu disumbangkan inisiatif pendidikan kewangan, sokongan kerajaan dan kesan kenaikan gaji minimum yang membantu menampung tekanan kos sara hidup.

Artikel Berkaitan:

“Sebanyak 36 peratus responden B40 mengelak daripada menggunakan perkhidmatan Beli Sekarang, Bayar Kemudian (BNPL), tertinggi dalam semua segmen pendapatan sekali gus mencerminkan sikap lebih berhati-hati dalam mengurus hutang.

“Selain B40, generasi muda turut menonjol sebagai kumpulan yang semakin celik kewangan. RMFLS 2025 mendapati 40 peratus Gen Z kini mampu menyimpan lebih RM500 sebulan, meningkat daripada 36 peratus tahun lalu,” ujarnya.

Menurut Tuck Siew, perkembangan positif dalam kalangan B40 menunjukkan pendidikan kewangan mula membuahkan hasil, namun kelemahan M40 perlu diberi perhatian segera.

Ringkasan AI

  • Golongan M40 kini merasakan lebih tertekan dengan kemampuan menyimpan yang merosot
  • Hanya 23 peratus responden M40 mampu menyimpan antara RM1,001 hingga RM1,500 sebulan pada tahun 2025, menurun dari 29 peratus
  • Bilangan mereka yang menyimpan kurang daripada RM500 sebulan meningkat kepada 39 peratus
  • Keyakinan M40 terhadap kedudukan kewangan mereka turut menurun, hanya 54 peratus merasakan kedudukan kewangan mereka lebih baik berbanding tahun lalu
  • Pendidikan kewangan dan sokongan kerajaan disebut sebagai faktor yang membantu golongan berpendapatan bawah RM2,000 merancang persaraan dan mengurus tekanan kos sara hidup

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!