Dua lagi remaja ditahan kes kejar, tendang Myvi

Tangkap layar rakaman video berdurasi seminit yang tular di Facebook menunjukkan kereta Perodua Myvi dikejar sekumpulan penunggang motosikal
Tangkap layar rakaman video berdurasi seminit yang tular di Facebook menunjukkan kereta Perodua Myvi dikejar sekumpulan penunggang motosikal
A
A
A

SERDANG - Dua lagi remaja lelaki ditahan selepas disyaki terbabit dalam insiden mengejar dan menendang sebuah kereta Perodua Myvi, yang rakaman videonya tular di media sosial, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad, berkata, kedua-dua lelaki berusia 16 tahun itu ditahan di Puchong.

"Kita telah menahan dua lagi remaja lelaki bagi membantu siasatan.

"Salah seorang yang ditahan itu disyaki telah memecahkan cermin belakang kereta pengadu," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Pada Selasa, media melaporkan seramai sembilan lelaki termasuk enam suspek bawah umur ditahan polis selepas terbabit dalam insiden itu.

Semua suspek yang berusia antara 13 hingga 21 tahun itu ditahan dalam beberapa siri tangkapan yang dijalankan sekitar Puchong serta Shah Alam pada Ahad dan Isnin.

Muhamad Farid dilaporkan berkata, penahanan itu dibuat susulan laporan yang diterima daripada seorang lelaki berusia 52 tahun yang juga pengawal keselamatan.

Menurutnya, bertindak atas maklumat dan laporan mangsa, polis berjaya mengesan dan menahan semua sembilan suspek terbabit.

Polis turut merampas tiga motosikal yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.

Artikel Berkaitan:

Kesemua suspek direman selama empat hari bermula hari ini sehingga 3 Oktober bagi membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 279 Kanun Keseksaan dan Seksyen 427 akta sama.

 

Ringkasan AI

  • Dua lagi remaja lelaki ditahan di Puchong kerana terbabit dalam insiden mengejar dan menendang kereta Perodua Myvi
  • Kedua-dua remaja tersebut berumur 16 tahun
  • Salah seorang daripada mereka disyaki memecahkan cermin belakang kereta
  • Sebelum ini, sembilan lelaki telah ditahan berkaitan dengan insiden itu
  • Polis merampas tiga motosikal yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!