Geng motosikal tanya 'awak polis' sebelum kejar pemandu Myvi

SERDANG – Seorang pemandu Perodua Myvi berusia 52 tahun terpaksa beredar kerana takut selepas didatangi sekumpulan penunggang motosikal ketika berhenti di bahu jalan berhampiran Plaza Tol Puchong Batu 13, pada Ahad.
Rakaman berdurasi seminit yang tular di Facebook itu menunjukkan kereta Perodua Myvi yang dipandu mangsa yang juga pengawal keselamatan dikejar sekumpulan penunggang motosikal, salah seorang daripada mereka bertindak menendang kenderaan itu sehingga mengalami kerosakan.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad berkata, ketika kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, mangsa berhenti untuk membuat panggilan telefon sebelum dihampiri sekumpulan penunggang motosikal.
“Salah seorang daripada mereka bertanya sama ada mangsa dan rakannya anggota polis.
"Pengadu terus beredar dan mendapati sekumpulan penunggang motosikal mengekori serta meminta kenderaan itu berhenti, disebabkan takut, mangsa terus memandu sehingga keretanya ditendang," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Muhamad Farid berkata, bertindak atas maklumat seramai sembilan lelaki berusia 13 hingga 21 tahun ditahan pada Ahad dan Isnin bagi membantu siasatan.
"Enam orang daripada individu yang ditahan merupakan suspek dibawah umur.
"Permohonan reman kesemua suspek di Mahkamah Petaling Jaya pada Selasa telah membenarkan tahanan reman selama empat hari sehingga Jumaat," katanya.
Beliau berkata, turut dirampas tiga buah motosikal yang digunakan semasa kejadian.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 279 / 427 Kanun Keseksaan," katanya.
Ringkasan AI
- Seorang pengawal keselamatan berusia 52 tahun beredar ketika dikejar sekumpulan penunggang motosikal di bahu jalan berhampiran Plaza Tol Puchong Batu 13
- Kereta Perodua Myvi yang dipandu mangsa ditendang oleh salah seorang penunggang motosikal hingga mengalami kerosakan
- Mangsa berhenti untuk membuat panggilan telefon sebelum dikejari oleh penunggang motosikal yang bertanya jika mereka adalah anggota polis
- Sembilan lelaki berusia 13 hingga 21 tahun ditahan bagi membantu siasatan kejadian ini
- Kes disiasat mengikut Seksyen 279 / 427 Kanun Keseksaan dan tiga buah motosikal dirampas
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
