Genosid Gaza cabaran keadilan sosial dunia - PM

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, sikap diam membisu terhadap kekejaman Israel di Gaza menjadikan sebarang perbincangan mengenai keselamatan sosial global sebagai kosong dan tidak bermakna.
Beliau berkata, kezaliman yang berlaku di Gaza perlu diakui sebagai sebahagian daripada cabaran sistemik terhadap keadilan sosial dunia.
Menurut Anwar, pengusiran berterusan keluarga Palestin dari Gaza bukan berpunca daripada perubahan iklim, sebaliknya tindakan sebuah negara Zionis yang tidak menghormati undang-undang antarabangsa dan prinsip kemanusiaan.
“Genosid ini menuntut kecaman tanpa kompromi. Ia bukan sekadar retorik politik, sebaliknya memperlihatkan pelanggaran hak asasi manusia yang memberi kesan terhadap fabrik keselamatan sosial global, sekali gus menafikan hak asasi manusia terhadap keselamatan, maruah dan akses kepada perkhidmatan penting,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada World Social Security Forum (WSSF) 2025 bertemakan ‘Shaping Social Security for a World in Transition’ di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) pada Isnin.
Perdana Menteri turut merujuk kepada tindakan berani aktivis antarabangsa yang menyertai flotilla ke Gaza, termasuk dari Malaysia, sebagai simbol solidariti dan perjuangan menentang penindasan.
Katanya, penglibatan masyarakat antarabangsa menunjukkan bahawa tanggungjawab menentang keganasan yang ditaja negara adalah usaha kolektif seluruh dunia.
“Malaysia konsisten mengecam penjajahan Zionis dan kolonialisme penempatan di Palestin. Komitmen ini adalah bukti pendirian kita terhadap keadilan yang merentasi sempadan negara,” katanya.
Anwar menekankan, solidariti dalam gerakan sosial amat penting dan perlu menjadi sebahagian daripada wacana keselamatan sosial antarabangsa.
Dalam ucapan itu, beliau turut menyeru agar dunia membina visi baharu yang mencerminkan realiti semasa dan bersedia menghadapi cabaran mendatang.
Menurutnya, Malaysia telah merangka pembaharuan tersebut melalui konsep Malaysia Madani.
Katanya, istilah Madani membawa makna besar kerana mengingatkan kepada Al-Madinah yang dibangunkan Nabi Muhammad SAW berasaskan keadilan, belas kasihan dan maruah.
“Ia mengingatkan kita bahawa masyarakat tidak diukur dengan kekayaan atau kuasa semata-mata, tetapi melalui keadilan, hormat dan nilai yang diberikan kepada setiap insan,” ujarnya.
Anwar menjelaskan bahawa Madani berteraskan enam nilai murni iaitu kelestarian, kemakmuran, inovasi, hormat, kepercayaan dan ihsan.
“Nilai ini bukan ciptaan baharu, ia adalah kebenaran abadi yang semakin relevan dalam era penuh pergolakan,” tambahnya.
Ringkasan AI
- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kekejaman Israel di Gaza meruntuhkan makna perbincangan keselamatan sosial global
- Kezaliman di Gaza adalah cabaran terhadap keadilan sosial dunia
- Anwar menyatakan pengusiran keluarga Palestin adalah tindakan negara Zionis yang melanggar undang-undang antarabangsa
- Malaysia konsisten mengecam penjajahan Zionis dan membuktikan komitmen terhadap keadilan global
- Konsep Malaysia Madani diperkenalkan, berteraskan nilai keadilan, belas kasihan dan maruah yang diilhamkan dari Al-Madinah
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

