Koperasi perlu tenaga belia kekal relevan

BANGI - Penglibatan aktif golongan belia dalam gerakan koperasi bukan lagi pilihan, sebaliknya keperluan mendesak untuk menjamin kelangsungan dan daya saing sektor itu pada masa depan.
Ketua Pengarah Institut Koperasi Malaysia (IKMa), Datuk Mohd Ali Mansor berkata, belia merupakan penggerak utama yang membawa tenaga baharu, keterbukaan terhadap idea segar dan kesediaan untuk mengadaptasi teknologi dalam dunia koperasi.
"Seperti diingatkan bekas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon belia bukan hanya tentang masa depan, tetapi mereka adalah masa kini," katanya ketika berucap pada Persidangan Koperasi Antarabangsa (ICC 2025) di sini, Selasa.
Persidangan itu menyaksikan dua pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara koperasi Malaysia, KILIM dan KOPTUBAS dengan Koperasi Islam Ibnu Auf Thailand, serta antara IKMa dengan IDACA Jepun.
Kerjasama itu membuktikan komitmen bersama untuk memperkukuh teknologi, modal insan dan mengembangkan jaringan kerjasama serantau.
Melalui inovasi dan kolaborasi, IKMa berhasrat menjadikan Malaysia sebagai hab kecemerlangan koperasi ASEAN.
Jelas Mohd Ali, tanpa penglibatan penuh belia, tiada masyarakat atau gerakan koperasi boleh mendakwa dirinya benar-benar mampan.

Menurutnya, statistik menunjukkan perkembangan positif apabila Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) merekodkan 207 koperasi belia dengan hampir 88,000 ahli pada tahun lalu.
Beliau memberitahu, hasil koperasi belia juga melonjak empat kali ganda dalam tempoh lima tahun daripada kira-kira RM15.8 juta kepada RM64.4 juta.
"Walaupun sumbangan koperasi belia masih kecil iaitu hanya 0.09 peratus daripada keseluruhan hasil gerakan koperasi sebanyak RM73.4 bilion pada tahun lalu, trend peningkatan ini memberi mesej jelas bahawa peranan mereka amat kritikal untuk model perniagaan koperasi masa depan," katanya.
Mohd Ali turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan ICC 2025, sambil mengajak peserta untuk terus menyemai benih kepimpinan belia demi masa depan gerakan koperasi.
Sementara itu, Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Willie Anak Mongin ketika ditemui berkata, Malaysia menegaskan komitmen untuk memperkasakan belia sebagai penggerak utama kelestarian gerakan koperasi pada masa depan.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Puncak Borneo berkata, kerajaan melalui dasar seperti Dasar Keusahawanan Nasional 2030, Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), Dasar Koperasi Malaysia (DAKOM) 2030 serta Pelan Transformasi Koperasi Malaysia (TransKom) menyediakan pelbagai program pembangunan belia termasuk Protégé, TUBE, Tekun Nasional Youth Financing dan Youth Co:Lab untuk membuka peluang pembiayaan serta keusahawanan.
Menurutnya, koperasi sekolah dan universiti yang kini mencatat lebih 2 juta ahli menjadi platform penting melatih kepimpinan, disiplin dan kemahiran berfikir kritis dalam kalangan generasi muda.
"Daripada hanya sembilan koperasi sekolah pada 1968, kini terdapat 2,508 dengan perolehan lebih RM531 juta.
"Di peringkat institusi pengajian tinggi pula, terdapat 207 koperasi belia dengan hampir 88,000 ahli," tambah beliau.
Ringkasan AI
- Penglibatan belia dalam gerakan koperasi dilihat sebagai keperluan mendesak untuk memastikan kelangsungan sektor
- Belia membawa tenaga baru dan kesediaan mengadaptasi teknologi dalam dunia koperasi
- Persidangan Koperasi Antarabangsa menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman untuk memperkukuh kerjasama serantau
- Statistik menunjukkan perkembangan positif dengan 207 koperasi belia dan hampir 88,000 ahli tercatat pada tahun lalu
- Kerajaan Malaysia menyediakan pelbagai program pembangunan belia untuk memperkasakan sebagai penggerak utama kelestarian gerakan koperasi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

