Erma Fatima bangunkan aplikasi sendiri, pejuang hak kawal karya

SELEPAS berdepan pengalaman pahit apabila beberapa hasil kerjanya disekat daripada tayangan, pengarah dan penerbit tersohor, Erma Fatima tampil dengan langkah berani membangunkan aplikasi digital miliknya sendiri.
Aplikasi yang dinamakan Karya Reels itu menjadi ruang eksklusif buat Erma atau nama sebenarnya, Fatimah Rahmad Ali, 57, untuk berkongsi mesej dan cerita yang sebelum ini gagal menemui penonton kerana kekangan penapisan.
Jelas Erma, perjuangan utamanya kini adalah memiliki dan mengawal sepenuhnya karya yang dihasilkan.
“Perjuangan pertama saya adalah untuk merasai memiliki karya saya sendiri. Kedua, tentu banyak perkara yang saya mahu lakukan, tetapi tidak dapat.
“Banyak juga mesej yang ingin disampaikan kepada masyarakat kerana saya percaya seni adalah platform terbaik untuk mendidik. Namun, saya tidak pernah diberi peluang memilih topik atau genre yang dekat dengan masyarakat untuk dijadikan teladan.
“Aplikasi ini adalah peluang buat kami, para pengkarya,” katanya ketika ditemui pada sidang media Ibu Aji di ibu negara baru-baru ini.

Walaupun aplikasi itu memberi lebih kebebasan kepada pengkarya, Erma menegaskan beliau tetap menghormati garis panduan kandungan seperti yang ditetapkan Lembaga Penapisan Filem (LPF).
“Memang saya mempunyai peluang besar untuk melakukan apa sahaja dengan aplikasi ini tetapi saya masih berpegang kepada LPF,” ujarnya.
Mengulas bagaimana tercetusnya idea menghasilkan Karya Reels, semuanya bermula apabila Erma sendiri sering menonton karya pendek di media sosial.
Katanya, trend tersebut bukanlah baharu di luar negara, malah sudah lama dipraktikkan di Taiwan, China, Hollywood dan Bollywood.
“Saya sendiri pernah terpedaya membeli untuk menonton beberapa short reels di TikTok.
“Sebagai pembikin filem pun boleh terperdaya, saya yakin orang lain juga boleh terpengaruh untuk menonton karya melalui aplikasi kerana ia mudah, boleh dibawa ke mana-mana dan ditonton pada bila-bila masa,” jelasnya.
Menerusi Karya Reels, penonton ditawarkan pelbagai karya baharu arahan Erma merangkumi pelbagai genre dengan bayaran langganan hanya RM10 sebulan.
Ringkasan AI
- Erma Fatima mengembangkan aplikasi digital sendiri bernama Karya Reels sebagai platform untuk berkongsi cerita tanpa kekangan penapisan
- Perjuangannya adalah untuk memiliki dan mengawal sepenuhnya karya yang dihasilkan
- Aplikasi ini memberikan peluang kepada pengkarya untuk menyampaikan mesej kepada masyarakat
- Walaupun memberi lebih kebebasan, Erma tetap menghormati garis panduan kandungan Lembaga Penapisan Filem
- Karya Reels menawarkan pelbagai karya baru arahan Erma dengan bayaran langganan RM10 sebulan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

