Redwan Rafei sambar RM12,000 dalam hujan

LUMUT – Hujan bersama guruh dan angin kencang sejak jam 5 pagi Ahad lalu tidak dijangka menjadi tuah buat Redwan Rafei Ahmad Shahm, 38, dari Pulau Pinang apabila dinobatkan sebagai juara Pertandingan Memancing Terbuka Perak di sini pada Ahad.
Redwan Rafei hanya memerlukan masa lima minit selepas hon permulaan dibunyikan tepat jam 9 pagi apabila lemparan pertama umpannya disambar ikan jemuduk seberat 1.885 kilogram (kg), sekali gus muncul juara menewaskan lebih 300 peserta.
Dengan kemenangan itu, dia membawa pulang hadiah wang tunai RM12,000 serta hamper, sementara tempat kedua disandang Khairul Amri Che Samad, 30, dari Kedah yang menaikkan ikan daun baru seberat 1.68kg.
Peserta dari Selangor, Muhammad Falahin Hasnan, 29, pula berpuas hati di tempat ketiga dengan tangkapan ikan belukang seberat 1.32kg.
Hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Pengarah Projek Kelab Sukan Memancing Surfcast Profesional Bersatu Malaysia (Mupsac), Rozaini Kamarudin.
Redwan Rafei berkata, dia menggunakan umpan udang hidup ketika membuat lemparan pertama, meskipun mempunyai umpan sesirat dalam simpanannya.
“Pada awalnya, semangat untuk memancing agak luntur berikutan hujan lebat sejak jam 5 pagi. Mujur penganjur melewatkan masa pertandingan selama setengah jam. Meskipun begitu, ketika acara dimulakan jam 9 pagi, hujan masih renyai menyebabkan semua pemancing basah kuyup.

“Saya memikirkan air laut yang sejuk akibat hujan akan menyukarkan pemancing, tetapi telahan saya silap apabila balingan pertama saya hanya menanti dua minit sebelum disambar ikan jemuduk. Saya hanya mengambil masa tiga minit untuk menaikkannya ke darat,” katanya.
Sementara itu Rozaini berkata, penangguhan acara selama setengah jam yang dilakukan oleh pihak penganjur adalah satu keputusan yang tepat.
“Hujan sangat lebat pada awal pagi. Malah, kaunter pendaftaran yang sepatutnya dibuka seawal jam 6.30 pagi juga dilewatkan setengah jam berikutan bekalan elektrik terputus akibat petir dan guruh.
“Pihak penganjur meletakkan keselamatan peserta pada tahap tertinggi. Sehingga keadaan dirasakan selamat, barulah acara ini dimulakan, meskipun hujan masih renyai,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
