'Mudah sahaja, tak ambil masa lama' - Penerima STR puas hati sistem BUDI95 lancar

BALING - Penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) mula menikmati subsidi petrol RON95 melalui pelaksanaan Program Budi Madani RON95 (BUDI95) dengan harga RM1.99 seliter bermula Ahad.
Tinjauan di sebuah stesen minyak di sini mendapati proses pelaksanaan subsidi bersasar berjalan lancar, dengan petugas stesen minyak bersedia membantu pengguna membuat semakan kelayakan menggunakan MyKad di pam.

Pengguna, Norhani Shuhaila Shuib, 37, berkata, dia kali pertama mencuba inisiatif BUDI95 dan berpuas hati dengan kemudahan yang disediakan.
"Mudah sahaja rupanya, semak kelayakan guna MyKad di pam minyak, kemudian bayar menggunakan kad debit. Kalau tak mahir, ada kakitangan sedia membantu untuk hari pertama ini," katanya.
Sementara itu, Tajudin Mansor, 60, menyambut baik pelaksanaan BUDI95 yang disifatkannya sebagai satu rezeki dan bukti keprihatinan kerajaan terhadap tekanan kos sara hidup rakyat.
"Sikit atau banyak, itu namanya rezeki, alhamdulillah," katanya selepas mengisi minyak di stesen sama.
Azhar Chin, 49, pula merakamkan penghargaan terima kasih kepada kerajaan yang telah melaksanakan BUDI95 untuk rakyat Malaysia.

"Saya juga salah seorang penerima STR dan mula menikmati subsidi yang diumumkan...sedikit sebanyak membantu rakyat dengan pelaksanaan inisiatif ini," katanya.
Seorang lagi penerima STR, Muhammad Afiq Zulkhairi, 23, berkata, dia sudah memanfaatkan subsidi petrol RON95 seawal jam 8.16 pagi Ahad.

"Saya terus buat semakan di pam menggunakan MyKad dan bayar guna kad debit, mudah sahaja dan tak perlu ambil masa lama," katanya.
Sementara itu di PAHANG, pengguna yang layak menerima subsidi BUDI95 juga mengakui proses pengesahan menggunakan MyKad di stesen minyak adalah cepat dan mudah, tanpa sebarang masalah.
Penerima STR, Mohd Saifullah Abdullah, 31, berkata, pada mulanya dia menyangka proses pengesahan identiti akan mengambil masa lama, namun sebaliknya hanya mengambil masa beberapa minit sahaja.

"Mula-mula risau juga ambil masa lama, rupanya hanya beberapa minit dan selesai.
"Sudah tentu dengan harga subsidi ini amat dihargai dan dapat membantu mengurangkan beban rakyat," katanya ketika ditemui di sebuah stesen minyak di Temerloh pada Ahad.
Bagi pekerja kilang, R Ragu, 44, pemberian subsidi itu amat dialukan-alukan bagi meringankan beban mereka terutama golongan berpendapatan rendah dan sederhana.
"Bila tahu hari ini sudah boleh menikmati harga subsidi, saya sebagai penerima STR terus datang menggunakan MyKad dan berpuas hati kerana urusannya mudah serta cepat, tidak ambil masa lama," ujarnya lagi.

Warga emas, Dolah Sam, 85, pula menyifatkan pemberian subsidi itu dapat menjimatkan kos.
"Selaku penerima STR, saya bersyukur dan menghargai usaha kerajaan selain proses hari pertama berjalan lancar tanpa masalah," tambahnya.

Ringkasan AI
- Penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) menikmati subsidi petrol RON95 RM1.99 seliter melalui Program Budi Madani RON95 (BUDI95)
- Proses pelaksanaan subsidi bersasar di stesen minyak berjalan lancar dengan bantuan kakitangan untuk semakan kelayakan menggunakan MyKad
- Pengguna berpuas hati dengan kemudahan semakan kelayakan dan pembayaran menggunakan kad debit yang disediakan di pam minyak
- Pelaksanaan BUDI95 disambut baik sebagai bukti keprihatinan kerajaan terhadap tekanan kos sara hidup rakyat
- Penerima STR merakamkan penghargaan kepada kerajaan atas pelaksanaan inisiatif ini yang membantu meringankan beban kewangan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
