Muip salur bantuan tangani wabak Covid-19

Muip peruntuk insentif khas zakat bagi menangani wabak Covid-19.
Muip peruntuk insentif khas zakat bagi menangani wabak Covid-19.
A
A
A

PEKAN - Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) memperuntukkan sumbangan bantuan melalui insentif khas zakat bagi menangani wabak koronavirus (Covid-19).

Muip melalui kenyataannya yang dimuat naik di Facebook rasminya memaklumkan, bantuan tersebut akan disalurkan kepada golongan asnaf dan miskin, keluarga pesakit dan pihak hospital yang mengendalikan pesakit yang dijangkiti Covid-19.

Melalui kenyataan itu, Muip memperuntukkan RM250,000 kepada kerajaan negeri bagi membantu pihak-pihak tertentu yang memerlukan bantuan untuk mendepani isu wabak Covid-19.

Pada masa yang sama, tambahan sebanyak RM200 kepada 3,030 penerima bantuan bulanan zakat membabitkan peruntukan RM606,000 yang akan dimasukkan terus ke dalam akaun penerima.

Pihak Muip juga memperuntukkan RM1.92 juta untuk bantuan tambahan RM200 kepada 9,664 penerima bantuan tahunan zakat yang juga akan dimasukkan terus ke akaun penerima.

Bantuan turut melibatkan sumbangan 20 set alat bantuan pernafasan (mesin tabung oksigen) dan peralatan screening kepada Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan, Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) Temerloh dan Hospital Kuala Lipis.

Keluarga mangsa yang dijangkiti Covid-19 di negeri ini turut akan menerima bantuan khas RM1,000.

Bantuan tersebut diumumkan Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selaku Yang Dipertua Muip.

Artikel Berkaitan:

Melalui kenyataan itu disebutkan, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah turut menyeru kepada semua Syarikat berkaitan Kerajaan (GLC), badan korporat, badan bukan kerajaan (NGO) dan individu yang berkemampuan untuk bersama-sama menyumbang kepada Tabung Amal Covid-19 yang diwujudkan.