Misi flotilla: Titik akhir menuju Gaza, kepada ALLAH SWT kami berserah - ZRA

SHAH ALAM - Sukarelawan Malaysia terlibat dalam misi Global Sumud Flotilla (GSF) yang kini berada di titik akhir pelayaran menuju Gaza menyerahkan sepenuhnya perlindungan kepada ALLAH SWT, susulan risiko serangan Israel yang dijangka memuncak dalam tempoh terdekat.
Sukarelawan Malaysia, Zainal Rashid Ahmad atau lebih dikenali sebagai ZRA berkata, mereka kini di titik akhir untuk menyeberang masuk ke Gaza dari Greece dengan fokus pelayaran 'tanpa keganasan'.
"Pada jarak 450 batu Nautika, sekitar empat hari perjalanan. Selepas 350 batu Nautika zon antarabangsa, konvoi GSF akan memasuki pantai Gaza.
"Melintasi garis 100 batu Nautika terakhir; ertinya memasuki ke kawasan jajahan Israel tanpa bantuan perlindungan kapal angkatan tentera laut Itali dan Spanyol.

"Pelbagai teori diperkatakan, pelbagai latihan telah dijalani. Selebihnya atas setiap usaha, hanya pada ALLAH SWT tempat berserah," katanya di hantaran Facebook pada Sabtu.
Tambah beliau, peserta misi kekal dengan usaha 'memecah kepungan' dan menghantar bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza.
"Doakan kami sampai ke Gaza. Perjuangan ini akan diteruskan oleh GSF dan Sumud Nusantara akan turut memastikan usaha masyarakat dunia kami laksanakan atas cita-cita membebaskan Gaza," tegasnya.
Dalam pada itu, Pengasas Cinta Salam Malaysia (CSM), Ahmad Musa Al-Nuwayri Kamaruzaman juga menyatakan kesediaan terhadap sebarang kemungkinan dan yakin dengan pertolongan Maha Pencipta.

"Kami ok saja. Kami tak risau pun pasal apa penjajah nak buat pada kami. Kami dah diberi latihan dan bersedia dengan apa sahaja kemungkinan.
"Kami sekadar kongsi info dan minta doa dari kalian. Kita yakin 100 peratus ALLAH SWT ada dan akan bantu hamba-Nya," tulisnya di Thread.
Pelayaran GSF yang membawa makanan, ubat-ubatan dan mesej keamanan dijadualkan tiba di perairan Gaza pada hujung bulan ini dengan penyertaan antarabangsa dari Eropah, Asia, Afrika Selatan, Amerika Latin dan Timur Tengah.
Semua sukarelawan Malaysia berada di bawah panji Sumud Nusantara, diterajui Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM), Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman.
Ringkasan AI
- Sukarelawan Malaysia terlibat dalam misi GSF ke Gaza menyerahkan perlindungan kepada ALLAH SWT
- Mereka di titik akhir menuju ke Gaza dari Greece dengan fokus pelayaran tanpa keganasan
- Konvoi akan memasuki pantai Gaza selepas melintasi 100 batu Nautika terakhir tanpa bantuan perlindungan kapal angkatan tentera laut Itali dan Spanyol
- Peserta misi bertujuan memecah kepungan dan menghantar bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza
- Pelayaran GSF membawa makanan, ubat-ubatan dan mesej keamanan, dijadualkan tiba di perairan Gaza pada hujung bulan dengan penyertaan antarabangsa
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
